Terpengaruh iklan kerja gaji lumayan, pemuda jadi mangsa scammer

Iklan
Hishamuddin (dua dari kanan) dan Azirul Syafiq (kanan) bertemu dengan sepuluh mangsa sindiket wang pelaburan kripto di Myawaddy, Myanmar sejurus tiba di KLIA Terminal 1 pada Jumaat selepas di selamatkan oleh MHO. - Foto: Bernama

SEPANG - Akibat terpengaruh dengan iklan pekerjaan yang menawarkan gaji lumayan sehingga RM7,000 di sebuah kasino di Bangkok, seorang pemuda dari Rawang didera dan dipaksa menjadi ‘scammer’ atau penipu wang pelaburan kripto suatu sindiket beroperasi di Myawaddy, Myanmar.

Ah Chong (bukan nama sebenar) berkata, dia hanya mampu bertahan tiga hari di Myanmar dan memohon untuk kembali ke Malaysia, namun tidak dibenarkan selagi tidak membayar wang tebusan.

Iklan
Iklan

"Sindiket itu juga meminta wang tebusan sehingga RM80,000 untuk melepaskan saya dan akhirnya anggota keluarga bayar RM30,000 untuk saya keluar. Bersama-sama saya ada lebih 80 mangsa yang juga rakyat Malaysia yang terperangkap dan dipaksa menjadi ‘scammer’,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 pada Jumaat

Ah Chong merupakan antara 10 mangsa sindiket wang pelaburan kripto di Myawaddy yang tiba dari Bangkok selepas diselamatkan oleh Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO).

Iklan

Wakil MHO, Azirul Syafiq Sazali yang mengendalikan usaha menyelamatkan kesemua mangsa berkata terdapat tiga situasi yang membolehkan mereka diselamatkan antaranya terdapat mangsa yang melarikan diri dengan kenderaan sindiket.

Sepuluh mangsa sindiket wang pelaburan kripto di Myawaddy, Myanmar selamat tiba di KLIA Terminal 1 pada Jumaati selepas diselamatkan MHO. - Foto: Bernama

"Ada yang melarikan diri dengan dibantu rakan yang membawa mereka menyeberangi masuk ke Mae Sot (Thailand) dan menyerah diri kepada pihak berkuasa Thailand untuk proses dokumentasi seterusnya,” katanya.

Iklan

Beliau berkata, kebanyakan kes penipuan pelaburan kewangan yang berlaku di Malaysia berpunca daripada operasi sindiket itu yang aktif di Myawaddy, malah mangsa turut dipaksa mengikuti kursus pengendalian sistem kripto.

Azirul Syafiq turut mendedahkan keberadaan mangsa di Myawaddy adalah secara haram memandangkan sebarang kemasukan pengunjung luar ke Myanmar mesti melalui Yangon sahaja.

"Myanmar tidak membenarkan mana-mana pasport antarabangsa dicop di sempadan, jika nak ke Myanmar hanya perlu melalui Yangon sahaja. Jadi semua 100 peratus mangsa rakyat kita di Myanmar masuk secara haram memandangkan (rekod) perjalanan terakhir di Bangkok,” katanya.

Turut hadir Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim dan anggota keluarga mangsa. - Bernama