KONSERT Coldplay di Malaysia yang diadakan pada 22 November tahun lalu menjadi konsert dengan penonton paling ramai dalam sejarah band terkemuka itu.
Konsert di Stadium Nasional Bukit Jalil itu merekod kehadiran 81,812 penonton.
Sebuah akaun X yang disahkan, dipercayai milik peminat kumpulan rock alternatif popular Britain itu menyenaraikan Kuala Lumpur di tempat pertama, diikuti Croke Park, Ireland pada 2017 (80,398 penonton) dan Stade de France, Perancis pada 2022 (79,582).
Turut berada dalam senarai teratas ialah Stadium Gelora Bung Karno (GBK), Indonesia pada 2023 (78,541).
Bukan itu sahaja, konsert tersebut juga meraih kutipan AS$10,904,369 (RM51.9 juta), yang merupakan perolehan tiket kedua tertinggi bagi Coldplay, selepas GBK.
Ramai melihat ia satu pencapaian yang mengagumkan kerana konsert Coldplay di Kuala Lumpur hanya berlangsung selama sehari.
Di ruangan komen, ramai peminat meminta kumpulan itu untuk kembali ke Malaysia dalam siri jelajah akan datang, selain turut berharap Malaysia mengambil contoh Singapura dalam mempromosikan negara sebagai destinasi hiburan, sekali gus menjana pendapatan untuk negara.
"Fikirkan tentang sektor pelancongan Malaysia yang terlepas persembahan selama enam hari, 321,113 orang hadir. Kerajaan Singapura mengisytiharkan ia minggu Coldplay. Hotel sesak dengan pelancong dari seluruh ASEAN," kata seorang peminat, @lorettabagg di X.
"Orang ramai akan berpusu-pusu ke Malaysia jika Coldplay mengadakan persembahan selama enam hari kerana mata wang kita jauh lebih murah daripada Singapura," kata @lllyzlh.
Untuk rekod, konsert Coldplay selama enam hari di Singapura mencatat 321,113 penonton dengan perolehan RM205 juta. - Awani