KEGAGALAN skuad terjun meraih slot tambahan ke Sukan Olimpik Paris 2024 mengundang persoalan mengenai masa depan sukan negara yang dilihat menuju proses penuaan susulan ketandusan bakat baharu.
Penganalisis sukan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, ketika penerjun China silih berganti menerusi penampilan atlet muda, namun Malaysia masih menaruh kudrat Datuk Pandelela Rinong.
Beliau berkata, ia memberi tamparan hebat buat atlet khususnya penerjun yang berada dalam Program Road to Gold (RTG) apabila kontinjen negara dilihat kian mengecil.
"Sedar tak sedar, kegagalan ini memberi petanda bahawa sukan negara sedang mengalami proses penuaan dan tepu,” katanya kepada Sukan Sinar.
Pandelela yang beraksi bersama Nur Dhabitah Sabri dalam acara 10 meter (m) platform seirama gagal merebut slot kelayakan secara automatik ke Paris selepas menamatkan saingan di tempat ke-12 daripada 16 pasangan.
Penerjun yang bakal mencecah usia 31 tahun Mac depan itu turut terlepas tiket ke Paris dalam acara 10m platform individu selepas menamatkan saingan di tempat ke-29 daripada 46 penerjun.
Pekan menjelaskan ketika Pandelela menyertai Sukan Olimpik buat kali pertama di Beijing 2008 pada usia 15 tahun, beliau menduduki tempat ke-27 acara 10m platform, manakala Chen Ruolin dari China berusia 16 tahun merangkul pingat emas.
Katanya, dalam Sukan Olimpik London 2012, Ruolin yang berusia 20 tahun menyumbang emas lagi untuk China menerusi acara yang sama, manakala Pandalela pada usia 19 tahun ketika itu merangkul gangsa pertama acara terjun.
"Pandalela terus beraksi dalam Sukan Olimpik Rio 2016 pada usia 23 tahun. Ruolin tidak lagi beraksi, namun muncul pula Ren Qian yang berusia 15 tahun dan dia menyapu emas acara 10m platform.
"Pandalela merosot ke kedudukan ke-11, manakala Nur Dhabitah di tempat kesembilan.
"Namun gandingan Pandalela bersama Cheong Jun Hoong membuat kejutan memenangi perak pertama negara menerusi acara 10m platform seirama.
"Penerjun dari Sarawak itu beraksi lagi dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020 pada usia 27 tahun,” katanya.
Menurut Pekan, ketandusan pelapis dan barisan atlet muda bukan sahaja melibatkan skuad terjun, namun tempias sama turut dialami badminton dan hoki.
Beliau berkata, selepas persaraan legenda Datuk Lee Chong Wei, Malaysia masih tiada pengganti dan jurang yang dimiliki pemain perseorangan, Lee Zii Jia masih jauh.
"Begitu juga dengan skuad hoki padang. Sebahagian besar pemain sudah beraksi lebih 10 tahun bersama pasukan negara.
"Skuad pula masih tidak mampu menggalas cabaran kerana faktor kualiti,” katanya.
Justeru beliau berharap kaedah mencungkil bakat baharu tidak boleh bergantung semata-mata kepada kejohanan seperti Sukan Malaysia (Sukma) sebaliknya langkah proaktif perlu dilakukan dengan meneroka potensi atlet di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.
Tambahnya, sesuatu sukan juga tidak boleh dilihat sebagai dominan buat kaum tertentu sahaja, sebaliknya penglibatan semua etnik di Malaysia wajar menjadi perkara penting seperti hoki.
"Dahulu kita tengok hoki dibarisi pemain India dan Sikh yang mempunyai kelebihan tertentu dalam corak permainan mereka. Kepelbagaian kaum dalam sukan dapat mewujudkan suasana saling melengkapi dalam sesebuah pasukan.
"Sesuatu projek atau program sukan juga perlu mempunyai matlamat yang jelas. Misalnya Projek Sukan Olimpik Los Angeles 2028,” katanya.
Setakat ini, hanya seorang atlet terjun negara iaitu Bertrand Rhodict Lises yang sudah mengesahkan tiket ke Olimpik Paris selepas berjaya berada dalam kelompok 12 terbaik acara 10m platform individu ketika Kejohanan Akuatik Dunia 2023 di Fukuoka, Jepun pada Julai tahun lalu.