KEJAYAAN Hussein Ammouta membawa Jordan mara ke pentas final Piala Asia sememangnya mengejutkan banyak pihak.
Malah, peminat yang paling optimistik tidak menyangka Jordan berjaya mara sejauh ini selepas tempoh persiapan pasukan yang kucar-kacir dan tidak konsisten.
Untuk rekod, pencapaian terbaik dalam lima penyertaan Jordan di Piala Asia ialah mara ke suku akhir pada edisi 2004 dan 2011.
Menjelang aksi final menentang tuan rumah Qatar lewat malam ini, Jordan kembali diperkuatkan dengan kehadiran Salem Ajaleen dan Ali Alwan yang terlepas aksi separuh akhir gara-gara layangan kad.
Sebelum sepak mula kempen Piala Asia, Hussein yang mengambil alih pasukan kebangsaan Jordan pada musim panas lalu telah dikritik atas pemilihan barisan pemain selain keputusan tidak meyakinkan dalam siri perlawanan persahabatan.
Bagi penolong jurulatih, Abdullah Abu Zam'eh, dia menganggap Hussein merupakan pakar taktikal yang gemar bereksperimen.
"Ia adalah perjalanan yang sukar, tetapi skuad perlahan-lahan mendapat keyakinan dan percaya bahawa kemajuan dicapai.
"Saya bertuah kerana dapat belajar dengan bekerja bersama seseorang seperti dia.
"Pada mulanya, peminat tidak yakin dengan kemampuannya kerana sering gagal dalam 'ujikaji' bersama pasukan," kata Abdullah yang merupakan jurulatih Bawah 23 (B-23) tahun Jordan.