Konflik kekeluargaan latari Rain Town

Iklan
Choo menyifatkan sikapnya yang mahu menentukan masa depan anak-anak diwarisi daripada cara bapanya membesarkannya.

KEJAYAAN sutradara Tunku Mona Riza menghasilkan filem mengenai anak autistik, Redha telah menjadi sebab utama buat penulis menyaksikan naskhah terbaharunya, Rain Town.

Lebih istimewa, naskhah yang menyaksikan gandingan pelakon seperti Chew Kin Wah, Susan Lankester, Fabian Loo, Wilson Lee dan Pauline Tan itu merupakan percubaan berani Tunku Mona untuk menghasilkan karya bukan Bahasa Melayu, di mana Rain Town adalah sebuah filem berbahasa Kantonis.

Iklan
Iklan

Rain Town secara ringkasnya mengisahkan tentang seorang bapa, Choo, yang terlalu mengawal kehidupan tiga orang anaknya iaitu Isaac, Alex, dan Ruby.

Penyakit yang menyerang Aileen menjadi titik tolak buat segalanya.

Akibat daripada perlakuan Choo yang terlalu mendominasi, hubungan dalam keluarga ini semakin merenggang.

Iklan

Biarpun berbahasa Cina, naskhah ini adalah 'realiti' yang berlaku dalam kehidupan bukan hanya rakyat Malaysia, tetapi juga di luar negara.

Keputusan Tunku Mona memilih lima watak utama terutama Kin Wah sebagai Choo memang tepat sekali.

Emosi bersahaja yang dilontarkan pelakon yang semakin mencipta nama di Indonesia itu cukup meninggalkan kesan.

Iklan

Pasti kita sering mendengar mengenai perwatakan seorang bapa yang tegas, keras kepala dan ibarat tidak menyayangi darah dagingnya sendiri, walhal sebenarnya hanya mahukan yang terbaik.

Aileen disifatkan sebagai seorang ibu yang penyayang, tenang dan sentiasa memberi sokongan kepada anak-anak.

Pelakon lain juga tidak kurang hebatnya, Susan sebagai ibu bernama Aileen yang cukup tenang dan penyayang menyeimbangkan ketegangan dalam keluarga itu dan pasti sekali menjadi kekuatan buat tiga anaknya.

Watak Aileen pasti dekat dan berkait dengan mana-mana anak yang mempunyai ayah tegas seperti Choo manakala watak tiga anak iaitu Isaac Choo, Alex Choo dan Ruby Choo memberi lebih warna dan perisa kepada Rain Town.

Hanya satu kelemahan ketara untuk naskhah Tunku Mona ini iaitu perjalanan filem yang agak perlahan dan ada ketikanya terasa mendatar.

Ibaratnya tatkala air mata baru hendak mengalir keluar dari kelopak mata, tiba-tiba terhenti dan kering begitu sahaja.

Mungkin ada sebab mengapa Tunku Mona mengadun Rain Town sedemikian rupa, tetapi dari sudut lainnya filem terbitan Current Pictures Sdn Bhd ini kaya dengan budaya dan kepelbagaian yang membuka mata.

Kin Wah membawakan watak sebagai Choo yang keras kepala, suka mengongkong dan mementingkan diri sendiri.

Bagi anda yang mencarikan naskhah santai pada hujung minggu sempena Tahun Baharu Cina ini, jangan lupa menyaksikan Rain Town di pawagam untuk mengetahui kesudahan Choo, Aileen dan anak-anak.

RAIN TOWN

PENGARAH: Tunku Mona Riza

PELAKON: Chew Kin Wah, Susan Lankester, Fabian Loo, Wilson Lee, Pauline Tan

GENRE: Kekeluargaan

DURASI: 1 Jam 55 Minit

KLASIFIKASI: P12

TAYANGAN: 8 Feb 2024

BINTANG: 3.5 / 5