KOTA BHARU - Ibu kepada gadis yang tular selepas motosikalnya terbabas jam 4 pagi di Jalan Jeli-Grik ketika dalam perjalanan pulang ke Pasir Mas Kelantan mahu bertemu dengan tiga individu yang membantu anaknya sehingga tiba di rumah dengan selamat.
Nor Hidayati Baharom, 54, berharap kesemua individu yang membantu Wan Nur Alya Danisha Wan Mohd Nazri, 20, menghubunginya.
"Saya nak ucap terima kasih tidak terhingga kepada semua yang membantu anak saya. Kalau sudi, hubungi Alya dan datang ke rumah kami Hari Raya Aidilfitri nanti," katanya kepada Sinar Harian.
Bagaimanapun, menurut Nor Hidayati, dia sempat berbual dengan individu pertama yang menumpangkan Wan Nur Alya selepas motosikal yang ditunggang rosak akibat terbalik ke dalam longkang di tepi jalan terbabit.
Menurut ibu kepada empat anak itu, Wan Nur Alya yang lebih mesra dipanggil kakak merupakan seorang yang suka berdikari sejak kecil dan sikapnya tidak mahu menyusahkan ibu bapa dan adik-beradik lain.
"Mungkin dia selalu melihat saya menguruskannya bersama tiga beradik lain sendirian kerana bapanya lebih banyak bekerja di luar Kelantan menjadikan dia juga kuat semangat.
"Kami memang memberi semangat kepada anak-anak untuk berdikari tetapi perlu bertempat dan jangan terlalu berani," katanya.
Nor Hidayati bersyukur kerana doanya setiap masa supaya anak-anak dipertemukan dengan insan yang baik ketika dalam kesusahan dimakbulkan.
Tambah Nor Hidayati, ketika kejadian anaknya berkeras untuk pulang menjenguknya selepas dirawat di hospital kerana disyaki mengalami pecah apendiks.
"Saya sebenarnya sangat bimbang dan tidak boleh melelapkan mata selepas dia meminta kebenaran untuk pulang tetapi tidak berhenti mendoakan keselamatannya," katanya.
Jelasnya lagi, Wan Nur Alya sebelum ini sudah dua kali pulang ke kampung dengan menunggang motosikal tetapi waktunya tidak terlalu lewat.
"Dia pernah bercerita bertemu sekumpulan gajah melintas jalan dan tapir tetapi ketika itu banyak kenderaan lain.
"Kata anak saya, dia mengikut sahaja pemandu lain dengan mematikan lampu kenderaan mereka dan kemudian meneruskan perjalanan," katanya.
Nor Hidayati turut mengakui Wan Nur Alya tidak dapat menaiki kenderaan lain kerana mengalami masalah mabuk kenderaan sejak di sekolah menengah.
"Dia turut memberitahu pening dan memerlukan udara luar setiap kali menaiki kereta," katanya.