IPOH - Miram Kadir, 77, meninggal dunia awal pagi Sabtu di kediaman anak perempuannya di Flat Ashby Road, di sini.
Khabar sedih itu disampaikan oleh Pengerusi Pertubuhan Puteri Kebajikan Negeri Perak, Wan Noorashikin Noran, yang memberitahu Miram atau dikenali sebagai opah, meninggal dunia dalam tidur.
Katanya, pemergian opah disedari oleh anak perempuannya pada jam 6 pagi tadi.
Menurutnya lagi, jenazah opah akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Kepayang selepas solat Zohor pada Sabtu.
Sebelum ini, media melaporkan kehidupan opah yang tinggal bersama-sama anak lelakinya di Flat Taman Silibin.
Kisah dua beranak hidup dalam sampah serta daif yang menyentuh hati jutaan rakyat Malaysia baru-baru ini dilihat sudah menemui titik noktah.
Pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil menghulurkan bantuan dan khidmat nasihat.
Difahamkan, Miram sudah diambil dan dijaga oleh salah seorang anak perempuannya yang menetap di Ipoh, selain rumah di Flat Taman Silibin dibersihkan oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI). - Awani