Pakai ceongsam rai Tahun Baharu Cina

Iklan
Nadia Jamali lengkap berpakaian cheongsam sudah tiba sejak 10 pagi kerana teruja untuk menyaksikan tarian singa yang akan dipersembahkan di beberapa kawasan tumpuan orang ramai.

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Para pengunjung mengambil peluang memeriahkan pekarangan ibu kota sejak awal pagi bagi meraikan sambutan Tahun Baharu Cina kali ini.

Tinjauan di sekitar Bukit Bintang mendapati, pengunjung tidak kira dalam dan luar negara menghabiskan cuti umum sempena perayaan itu dengan bersiar-siar, merakamkan momen kenangan serta membeli belah.

Iklan
Iklan

Pelajar, Nadia Jamali, 22, berkata, dia yang lengkap berpakaian ceongsam sudah tiba sejak 10 pagi kerana teruja untuk menyaksikan tarian singa yang akan dipersembahkan di beberapa kawasan tumpuan orang ramai.

"Sambutan tahun ini agak meriah begitu juga dengan perhiasan simbol naga yang disediakan.

Iklan

"Ia betul-betul menunjukkan Tahun Baharu Cina ini adalah Tahun Naga,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada Sabtu.

Ahli perniagaan, Steve Cheah, 65, memaklumkan, sambutan hari raya cina di ibu kota pada kali ini memang meriah kerana turut disertai pelbagai kaum seperti Melayu dan India, bahkan pelancong dari luar negara.

Iklan

"Saya beraya di Ipoh, Perak pagi tadi dan terus pulang ke bandar kerana ada urusan, singgah pula ke pusat beli belah di sini bersama keluarga.

"Ingatkan perayaan kali ini sunyi di bandar kerana semuanya balik kampung, saya terkejut rupanya memang meriah dan sesak.

"Diharapkan perayaan sebegini disambut lebih meriah pada tahun-tahun akan datang,” ujarnya.

Sementara itu, perunding khidmat pelanggan, Maria Rubavathy, 30, berkata, kehadiran masyarakat ketika cuti umum itu amat meriah lebih-lebih lagi kawasan tumpuan sarat dengan dekorasi naga dan perhiasan tanglung emas serta merah.

"Saya dan kawan-kawan jarang datang ke Bukit Bintang kerana menetap di Klang.

" Kawasan kami meriah dengan bunyi mercun, tapi kalau di sini pula sibuk dengan orang ramai bersiar-siar atau beli belah,” tambahnya lagi.