Dengusan tedung selar kejutkan wanita nyenyak tidur

Iklan
Ular tedung selar tersebut bertindak agresif semasa ditangkap oleh anggota bomba. Bunyi dengusan ular tedung selar mengejutkan seorang wanita yang sedang tidur di Kampung Padang Setol, Pedu, Padang Terap. Foto Bomba Kuala Nerang

PADANG TERAP - Seorang wanita yang nyenyak tidur dikejutkan dengan dengusan ular tedung selar di bawah katil di rumahnya pada awal pagi Sabtu.

Dalam kejadian jam 2 pagi itu, dia yang menyedari kehadiran binatang berbisa tersebut kemudian segera menghubungi suaminya yang ketika itu bekerja di luar.

Iklan
Iklan

Lelaki tersebut kemudiannya menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerang sebelum sepasukan anggota bomba diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mohd Asri Shamsudin ke Kampung Padang Setol, Pedu, di sini.

Ketua BBP Kuala Nerang, Penolong Penguasa Bomba Mohd Aminudin Mad Khozali berkata, sebaik tiba di lokasi, pasukannya mendapati terdapat seekor ular tedung selar menyorok di bawah katil dalam sebuah bilik di rumah berkenaan.

Iklan

"Ular sepanjang 3.5 meter itu pada mulanya agresif ketika cuba ditangkap, namun dengan kemahiran dan pengalaman yang ada, anggota kami dapat menangkap ular itu menggunakan peralatan khas," katanya pada Sabtu.

Menurut Mohd Aminuddin, ular tedung selar itu adalah yang terbesar pernah ditangkap di Padang Terap setakat ini melibatkan spesis itu dan percaya akan lebih banyak ular akan keluar berikutan cuaca panas waktu ini.

Iklan

Beliau menasihati orang ramai agar berhati-hati kerana haiwan itu biasanya akan keluar mencari tempat perlindungan dan masuk ke rumah penduduk untuk berlindung.

"Antara tempat-tempat yang biasanya ditemui adalah di bawah katil, atas alang rumah, bawah kusyen, dalam bilik air dan di tempat sejuk," ujar beliau.