Tiga polis kesan pemilik, serah beg tercicir

Iklan
Anggota JSPT berjaya menemui semula pemilik yang tercicir barang di tandas Hentian Plaza Tol Ipoh Selatan, pada Sabtu. Beg yang mengandungi dokumen dan wang tunai telah diserahkan semula kepada pemiliknya oleh anggota JSPT yang prihatin (kanan). Gambar kecil: Mohd Azman Ahmad Sapri

IPOH - Seorang pegawai dan dua anggota polis bertindak pantas mengesan pemilik dan menyerahkan semula beg yang mengandungi dokumen serta wang yang tercicir di tandas Hentian Plaza Tol Ipoh Selatan, di sini pada Sabtu.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, kejadian itu dikesan pegawai dan dua anggota itu semasa membuat rondaan pemantauan Op Selamat 21 di kawasan tandas hentian terbabit.

Iklan
Iklan

"Mereka ialah Inspektor Muhamad Hafizd Ahmad, Lans Koperal Shahrul Fahmi Che Ani dan Lans Koperal Rafizi Ramlan daripada Unit Peronda Lebuhraya Ipoh-Tapah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman.

"Pemeriksaan telah terjumpa barangan peribadi mengandungi dokumen pengenalan diri, sejumlah wang dan ubat-ubatan milik pengguna lebuh raya yang dipercayai tercicir.

Iklan

"Petugas bertindak pantas bagi mengesan pemilik dan berjaya menghubungi pemilik barangan tersebut," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Beliau berkata, barangan peribadi telah diserahkan dengan selamat kepada pemiliknya dan telah menerima pujian daripada pemilik atas rasa tanggungjawab dan berintergriti petugas itu.

Iklan

Ujar Mohd Azman, anggota yang terlibat ini telah menjalankan tugas dengan amanah dan keprihatinan pengguna jalan raya menjadi keutamaan JSPT dengan slogan 'kehadiran JSPT dirasai'.

"Nasihat saya kepada semua petugas agar sentiasa menjalankan tugas bertunjangkan integriti dan tatakelola yang baik sebagaimana slogan 'polis dan masyarakat berpisah tiada'," katanya.