SEPANG - Jumlah pelancong Turkiye yang datang ke Malaysia dari Januari hingga November 2023 menunjukkan peningkatan sebanyak 10.8 peratus atau 15,623 orang berbanding 14,096 bagi tempoh sama pada 2019.
Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Roslan Abdul Rahman berkata, peningkatan itu mencerminkan kejayaan kempen mempromosi Malaysia sebagai destinasi yang menarik kepada pelancong asing.
"Angka ini menunjukkan suatu peningkatan yang baik.
'Saya kongsi perbandingan dengan 2019 kerana ia adalah tahun sebelum pandemik Covid-19.
"Data 2023 kita belum analisis dan bentang kepada Kabinet.
"Insya-ALLAH untuk 2024, kita harap dapat atasi jumlah tersebut dengan adanya pelbagai kempen promosi Malaysia sebagai destinasi utama pelancongan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir bersama Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing bagi menyambut ketibaan penerbangan sulung Batik Air bagi laluan Kuala-Lumpur-Istanbul Sabiha Gocken International Airport (KUL-ISG) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di sini hari ini.
Pada majlis itu, ketibaan pesawat Batik Air disambut dengan semburan air ketika ia bergerak memasuki hangar sebagai simbolik penerbangan sulung bagi laluan tersebut manakala paluan gong dan lagaan simbal mengiringi gerakan akrobatik tarian singa dimainkan ketika penumpang memasuki balai ketibaan.
Kira-kira 90 pelancong yang menaiki pesawat itu disambut oleh King Sing dan diberikan cenderamata sebagai tanda penghargaan kerana memilih Malaysia sebagai destinasi pelancongan.
"Kita raikan ketibaan pelancong dengan ‘goodies bag’ dan bagi penghormatan kepada kapten bersama krunya untuk gaul Yee Sang sebagai simbol persahabatan dan sambutan Tahun Baharu Cina serta tanda terima kasih kerana membawa penumpang ke sini,” katanya.
Pada 6 Ogos lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Batik Air telah terpilih sebagai pengendali bagi laluan KUL-ISG susulan komitmen pelaburan Malaysia Airport Holding Bhd sebanyak 200 juta pound Britain di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (ISGIA).
Malaysia dan Turkiye menjalinkan hubungan diplomatik selama enam dekad sejak 1964. - Bernama