Weng Son idam penamat sempurna sebelum bersara

Iklan
Wong Weng Son. Foto Bernama

TIADA yang lebih menggembirakan buat mana-mana atlet selain menghadiahkan emas untuk negara sebelum menamatkan karier dalam sukan.

Itulah impian utama atlet wusyu senior lelaki negara Wong Weng Son yang menyatakan hasrat untuk bersara daripada sukan paling dicintainya itu pada penghujung tahun ini.

Iklan
Iklan

Weng Son yang menginjak usia 32 tahun berkata dua kejuaraan menjadi buruannya iaitu pada Kejohanan Wusyu Asia di Macau dan Piala Dunia Wusyu Taolu di Jepun, masing-masing berlangsung pada September dan Oktober ini.

"Sepatutnya saya mahu bersara pada tahun lepas mengikut jejak langkah atlet lain namun perancangan itu berubah.

Iklan

"Saya rasa masa terbaik ialah pada tahun ini dan mahu dapatkan pingat emas dahulu dalam dua kejohanan ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Atlet kelahiran Negeri Sembilan itu pada masa sama berazam mempertahankan pingat emas dalam acara Jianshu yang dimenanginya pada Kejohanan Asia 2016 di China.

Iklan

"Saya pernah memenangi pingat emas di sana (China) tapi terpaksa menunggu untuk mengulangi pencapaian itu pada kejohanan pada 2020 namun ia dibatalkan kerana pandemik Covid-19," katanya.

Weng Son sudah mengumpul tiga emas di Piala Dunia, dua daripadanya pada edisi 2018 di Yangon, Vietnam menerusi acara Jianshu dan Qiangshu, manakala satu lagi emas dimenanginya pada edisi 2016 di Fuzhou, China dalam acara Jianshu. - Bernama