Bukit Watu Kokolutan tawar trail mencabar penggemar sukan lasak

Iklan
Gunung Kinabalu jelas kelihatan dari puncak bukit Watu Kokolutan, Kampung Talantang, Kiulu, Tuaran.

TUARAN - Aktiviti kembara hutan dan mendaki menuju ke bukit Watu Kokolutan yang terletak di Kampung Talantang, Kiulu, di sini, sudah pasti akan memberikan kepuasan kepada penggemar aktiviti sukan lasak.

Apa tidaknya, perjalanan sejauh lapan kilometer yang mengambil masa sekitar enam hingga lapan jam itu menawarkan 'trail' yang menarik dan mencabar untuk dilalui pendaki sehingga ke puncak bukit Watu Kokolutan.

Iklan
Iklan

Penulis sendiri berpeluang merasai pengalaman menjejaki trail yang mencabar menerusi program ekopelancongan berasaskan komuniti di Kampung Talantang.

Menerusi trail yang lebih pendek jaraknya, penulis akhirnya berjaya berada di atas puncak bukit yang berketinggian lebih 800 meter dari paras air terjun Hatob.

Iklan

Ketika berada di puncak bukit Watu Kokolutan, penulis sempat berbual dengan Pengerusi Pelancongan Kampung Talantang, Lasius Pangin yang sudah dua tahun mengendalikan ekopelancongan di kampung tersebut.

Menurut Lasius, lokasi untuk aktiviti pendakian itu dibuka sejak tiga tahun lalu namun disebabkan pandemik Covid-19 ia tidak dapat beroperasi dengan sepenuhnya.

Iklan

Bagaimanapun katanya, sejak tahun lalu aktiviti pendakian bukit semakin mendapat tempat dalam kalangan penggemar sukan ekstrem sama ada pengunjung tempatan atau luar negara.

Mini air terjun Hatob dan pokok berusia beratus tahun antara tarikan utama untuk pendaki yang melalui trail kembara hutan dan mendaki ke bukit Watu Kokolutan, Kampung Talantang, Kiulu, Tuaran.

"Jadi di sini kami menawarkan pelbagai tempat yang menarik di sepanjang laluan untuk pendaki.

"Ini termasuk terdapatnya sungai yang bersih, mata air yang boleh diminum begitu saja serta mini air terjun dengan ketinggian hampir tiga meter.

"Di sepanjang trail ini juga terdapat pelbagai jenis pokok kayu yang berusia ratusan tahun malah pokoknya yang rimbun dan besar menjadikan hutan terlindung daripada cahaya matahari.

"Setibanya di atas puncak bukit, udaranya nyaman dan sejuk selain mempunyai pemandangan yang menakjubkan iaitu boleh dilihat dari pelbagai sudut 360 darjah.

"Lebih menarik lagi, dari atas puncak ini kita boleh melihat Gunung Kinabalu dengan lebih jelas," katanya.

Penulis bersama rakan media merasai sendiri pengalaman melalui trail mencabar mendaki ke bukit Watu Kokolutan, Kampung Talantang, Kiulu, Tuaran.

Sementara itu, menurut pemandu arah, Vester Douni, ketika ini mereka hanya boleh menerima kurang daripada 30 pendaki setiap hari bagi menjaga keindahan alam sekitar di sepanjang trail dan bukit tersebut.

"Selain itu disebabkan pemandu arah tidak ramai kerana ada sebahagiannya sibuk dengan pekerjaan seharian sebagai petani jadi kami hanya boleh mengendalikan kurang daripada 30 pendaki sehari.

"Bagaimanapun, kami sentiasa memberikan perkhidmatan yang terbaik menerusi pakej yang disediakan kepada pendaki yang datang ke Watu Kokolutan," katanya.

Sebelum itu, kegiatan ekopelancongan yang dilaksanakan di Kampung Talantang adalah antara program komuniti angkat yang dilaksanakan oleh Yayasan RYTHM.

Menurut Pengerusinya, Datin Sri Umayal Eswaran, program komuniti angkat itu berjaya dilaksanakan disebabkan semua pihak termasuk kerajaan negeri fokus untuk menjadikan masyarakat setempat lebih berdaya saing untuk menjana pendapatan di kawasan pedalaman.

"Selaras dengan apa yang kerajaan mahu laksanakan menerusi ekopelancongan, kita jadikan mereka lebih berdikari dengan memulakan perusahaan yang dilakukan secara kecil-kecilan," katanya.