PENYANDANG juara, Qatar mengekalkan kejuaraan Piala Asia buat kali kedua berturut-turut selepas mengecewakan Jordan, 3-1 dalam perlawanan akhir Qatar 2023 di Stadium Lusail pada Ahad.
Bintang Qatar, Akram Hassan Afif Yahya memastikan pemenang edisi Emiriah Arab Bersatu (UAE) 2019 dalam kelas tersendiri apabila meledak hatrik setelah menterjemahkan setiap penalti dalam bentuk jaringan bermula minit ke-22, m-73' dan m-95 menewaskan penjaga gol Jordan, Yazeed Abulaila
Iklan
Iklan
Jordan yang tampil ke perlawanan akhir dengan reputasi pasukan pembunuh gergasi mengurangkan defisit menerusi jaringan Yazan Abdallah Ayed Al-Naimat pada minit ke-67 mengatasi benteng terakhir Qatar, Meshall Barsham.
Kejayaan mempertahankan kejuaraan merupakan motivasi buat angkatan Bartolome Tintín Marquez Lopez menjelang perlawanan Kumpulan A Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Kuwait di Stadium Jassim Bin Hamad pada 22 Mac depan.
Qatar kini memimpin Kumpulan A dengan enam mata selepas menang dua perlawanan sebelum ini apabila menang 8-1 ke atas Afghanistan 16 November diikuti India, 3-0 pada 21 November lalu.
Anak buah Hussein Ammouta yang berada pada kedudukan ketiga Kumpulan G dengan satu mata pula akan berdepan Pakistan pada 21 Mac.
Dua perlawanan awal Jordan menyaksikan pasukan itu seri 1-1 menentang Tajikistan pada 16 November sebelum kecundang 0-2 ketika menerima kunjungan Arab Saudi di Stadium Antarabangsa Amman pada 22 November.