JARINGAN hatrik penyerang sensasi Qatar, Akram Afif mendedikasikan kejayaan The Maroons mempertahankan kejuaraan Piala Asia 2023 selepas menewaskan Jordan 3-1, kepada isterinya.
Pemain berusia 27 tahun, mewakili kelab liga tempatan, Al Sadd, itu juga mendedahkan kad yang ditulis huruf"S” yang ditunjukkan ketika meraikan jaringannya adalah permulaan huruf nama isterinya yang merupakan warganegara Kuwait.
"Ia (S) adalah permulaan huruf nama isteri saya, dia orang Kuwait dan hari ini hari pertama dia ke stadium, ini perlawanan pertamanya.
"Saya ucapkan terima kasih dan tahniah kepada semua peminat Qatar dan saya juga nak beri semua anugerah yang diterima malam ini (Sabtu) kepada isteri saya,” katanya yang kekal mahu merahsiakan identiti isterinya, pada sidang media selepas perlawanan di Stadium Lusail di sini.
Mengulas mengenai ketiga-tiga gol penalti yang berjaya disempurnakan dengan bergaya, Afif berkata, rahsianya bukan kerana teknik tetapi keyakinan yang hadir daripada sokongan yang diterimanya selama ini.
Afif dinobatkan penjaring terbanyak kejohanan selepas mengumpul lapan gol, membawa pulang Anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) kejohanan dan pemain terbaik final.
Pada masa sama, Afif memuji Jordan dengan menyifatkan apa yang telah dilakukan skuad bimbingan Hussein Ammouta itu sebagai satu pencapaian yang boleh dibanggakan susulan berjaya mencipta sejarah ke separuh akhir dan beraksi di final.
Dalam pada itu, ketua jurulatih Qatar, Marquez Lopez berkata, perlawanan tersebut mungkin bukan final seperti yang dijangkakan tetapi masih gembira dengan kejayaan itu yang menyaksikan ia gelaran pertamanya sebagai jurulatih pasukan kebangsaan.
"Ia perlawanan yang sukar, sangat sengit, mungkin ia perlawanan bola sepak yang cantik seperti kami harapkan tetapi saya gembira dengan kemenangan ini dan saya gembira dengan Afif atas semua anugerah yang dimenanginya, dia layak untuk diberikan semua gelaran itu,” kata jurulatih dari Sepanyol berusia 62 tahun.
Pada final tersebut, Qatar mendahului menerusi penalti Afif pada minit ke-22, namun Yazan Al-Naimat menjadikan kedudukan 1-1 pada minit ke-67 sebelum Afif menyudahkan dua penalti masing-masing pada minit ke-73 dan 90+5 untuk mengesahkan kemenangan pasukan.
Dua penalti separuh masa kedua 'bunuh' kebangkitan Jordan - Ammouta
Dalam pada itu, Ketua jurulatih Jordan, Hussein Ammouta berkata, dua penalti yang diberikan kepada Qatar pada separuh masa kedua mematahkan semangat pasukannya dalam misi mencipta sejarah memenangi Piala Asia 2023 di sini, malam Sabtu.
Pada aksi di Stadium Lusail itu, Qatar mempertahankan kejuaraan selepas menang 3-1 dengan tiga jaringan skuad The Maroons hadir menerusi penalti yang disempurnakan penyerang sensasi Akram Afif sementara Yazan Al-Naimat menjaringkan gol sagu hati Jordan.
Ammouta berkata, Jordan bergelut pada separuh masa pertama yang menyaksikan mereka ketinggalan 0-1 tetapi menunjukkan semangat untuk menyaingi kehebatan dan permainan dinamik Qatar di babak kedua sehingga berjaya menyamakan kedudukan.
Namun, penalti kedua dan ketiga yang diberikan pengadil Ma Ning dari China selepas itu menghalang The Chivalrous daripada bangkit untuk cuba memenangi perlawanan.
"Malangnya perlawanan malam ini tidak berpihak kami, secara keseluruhan di separuh masa pertama kami kehilangan fokus dan juga peluang menjaringkan gol tetapi separuh masa kedua lebih baik, kami menjaringkan gol penyamaan.
"Tetapi penalti kedua datang dalam keadaan kami sedang sedaya upaya memburu gol kedua dan (kemudian) penalti ketiga, ia menghalang terus kami untuk bangkit, tetapi ia adalah bola sepak," katanya pada sidang media selepas perlawanan di sini.
Pada masa sama, pengendali dari Maghribi berusia 54 tahun itu tidak memberikan jawapan tepat mengenai sama ada kedua-dua penalti itu berpunca kesilapan pengadil ataupun berhak diberikan, namun menyifatkan ia sangat kejam kepada Jordan.
Dalam pada itu, Ammouta tetap memberikan pujian kepada anak buahnya atas persembahan cemerlang sepanjang kempen kali ini yang menyaksikan mereka mencipta sejarah julung kali mara ke separuh akhir seterusnya layak beraksi di final.
"Pasukan ini telah menunjukkan kemajuan yang sangat baik dan mungkin pada edisi seterusnya kami akan menang,” katanya.
Pada aksi malam ini, Qatar mendahului menerusi penalti Afif pada minit ke-22, namun Al-Naimat menjadikan kedudukan 1-1 pada minit ke-67 sebelum Afif menyudahkan dua penalti masing-masing pada minit ke-73 dan 90+5 untuk mengesahkan kemenangan pasukan. - Bernama