AI jadi tumpuan pada Sidang Kemuncak Dunia 2024

Iklan
Kecerdasan Buatan (AI) akan menjadi fokus perbincangan pada World Government Summit (WGS) pada tahun ini yang berlangsung di Dubai dari 12 hingga 14 Februari.(Gambar hiasan) Foto 123rf

DUBAI - Kecerdasan Buatan (AI) akan menjadi fokus perbincangan pada World Government Summit (WGS) pada tahun ini yang berlangsung di Dubai dari 12 hingga 14 Februari.

Menyedari impaknya yang mendalam terhadap pelbagai sektor dan potensinya untuk merevolusikan komuniti global, sidang kemuncak itu yang bertemakan Shaping Future Governments bertujuan mendalami bidang inovasi dan tadbir urus AI.

Iklan
Iklan

Dengan kehadiran lebih 100 personaliti dan pemimpin syarikat AI terkemuka selain pegawai kerajaan dan pakar industri, perbincangan pada sidang kemuncak itu dijangkakan menjurus mengenai memperkasakan kerajaan untuk mengapliksikan landskap AI dengan berkesan.

Peserta lain termasuk beberapa pemimpin utama kerajaan, Menteri Komunikasi dan Teknologi Maklumat Mesir, Dr Amr Talaat; Setiausaha Perdagangan bagi Harta Intelek Amerika Syarikat (AS), Kathi Vidal; Menteri Komunikasi dan Teknologi Maklumat di Mesir, Ulvi Mehdiyev dan Pengerusi Agensi Perkhidmatan Awam dan Inovasi Sosial Azerbaijan, Mohamed Abdallahi Louly.

Iklan

Turut serta, pemimpin syarikat AI terkemuka seperti Ketua Pegawai Eksekutif Open AI, Sam Altman dan Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif NVIDIA, Jensen Huang; Ketua Pegawai Eksekutif SandboxAQ, Jack Hidary; Ketua Pegawai Eksekutif Beyond Limits, AJ Abdallat dan Ketua Pegawai Teknologi di Amazon, Werner Vogels yang akan menyumbang pandangan mereka.

Bintang Bollywood, Shah Rukh Khan juga akan berada di sini pada 14 Februari untuk sesi temu bual -- kali pertama pelakon itu hadir pada perhimpunan berprestij berkenaan.

Iklan

Khan, tokoh budaya India terkenal, akan menerajui perbincangan selama 15 minit mengenai kemunculan dan kemasyhuran serta kekayaannya dalam sesi bertajuk 'The Making of A Star: A Conversation With Shah Rukh Khan'.

Agenda sidang kemuncak itu menekankan komitmen untuk memperkukuh peranan kerajaan dalam menangani cabaran AI dan memanfaatkan potensinya yang luas.

Menampilkan enam tema utama dan 15 forum, edisi WGS 2024 akan meneroka lebih lanjut pelbagai aspek AI daripada tadbir urus yang bertanggungjawab kepada pembangunan pendidikan dan infrastruktur, yang bertujuan untuk memupuk kerjasama antarabangsa dan memacu kemajuan tertumpu AI untuk manfaat semua.

Forum Kecerdasan Buatan yang mempunyai kepentingan tertentu, berperanan sebagai platform untuk menjalin perkongsian pelbagai sektor dan memajukan amalan AI yang bertanggungjawab.

Perbincangan bermatlamat untuk mewujudkan konsensus global mengenai prinsip AI beretika, meningkatkan keupayaan AI melalui inisiatif pendidikan dan infrastruktur serta merumuskan dasar masa depan yang kondusif kepada inovasi dipacu AI.

WGS juga melibatkan lebih 23 mesyuarat menteri dan meja bulat, 85 organisasi antarabangsa, serantau dan antara kerajaan serta lebih daripada 120 sesi dan bengkel interaktif. - Bernama