KUALA LUMPUR - Isu penyalahgunaan kertas undi oleh pihak tidak berkepentingan menjadi fokus utama Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Malaysia dalam proses undi awal pada Pilihan Raya Umum (Pemilu) dan Pilihan Raya Presiden (Pilpres) 2024 kali ini.
Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Datuk Hermono berkata, langkah itu penting bagi memastikan insiden yang berlaku pada lima tahun lalu hingga mencetuskan pelbagai kontroversi tidak berulang.
"Kita ingin mengurangkan sekecilnya kemungkinan penyalahgunaan kertas undi daripada pihak yang tidak berkepentingan dalam pemilihan kali ini agar proses memilih kepimpinan baharu berjalan lancar.
"Bagi proses undi awal di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) ini kita jangkakan sekitar 20 peratus pemilih yang berdaftar di sini keluar menunaikan tanggungjawab hari ni,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas meninjau proses undi awal di WTCKL, di sini pada Ahad.
WTCKL merupakan salah satu daripada enam pusat pengundian awal yang dibuka di negara ini merekodkan seramai 222,945 pemilih.
Lima lagi pusat pengundian awal yang turut dibuka di Malaysia ialah di Johor Bahru, Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Tawau dan Kuching, Sarawak.
Mengulas lanjut, Hermono berkata, proses pengundian di Malaysia pada pemilihan kali ini juga diyakini berjalan lancar berdasarkan persiapan rapi yang dibuat.
"Semangat yang ditunjukkan pemilih cukup tinggi dan saya lihat petugas juga cukup semangat. Jadi harapan saya semoga segala berjalan lancar dan tertib,” katanya.
Hermono sebelum ini dilapor menjangkakan sekitar 30 peratus daripada 832,420 rakyat negara itu yang menetap di Malaysia dan berdaftar sebagai pemilih akan menunaikan tanggungjawab pada Ahad.
Menurutnya proses pengundian Pemilu dan Pilpres Indonesia 2024 sering mendapat perhatian kerana melibatkan jumlah pemilih luar negara terbesar.
Kira-kira 204 juta rakyat Indonesia akan meraikan pesta demokrasi dalam Pemilu dan Pilpres pada 14 Februari ini untuk memilih presiden, naib presiden, ahli Perhimpunan Perundingan Rakyat dan wakil untuk badan perundangan tempatan.
Indonesia memulakan kempen pilihan presiden 2024 pada November tahun lalu yang menyaksikan tiga calon bersaing untuk pemilihan pemimpin pada 14 Februari ini.
Persaingan itu melibatkan bekas jeneral tentera, Prabowo Subianto, bekas gabenor Jawa Tengah, Ganjar Pranowo dan bekas gabenor Jakarta, Anies Baswedan.