LANGKAWI - Kira-kira 3,000 pengunjung tidak melepaskan peluang menyaksikan fenomena alam laut terbelah ataupun 'sandbar walk' di Tanjung Rhu, Langkawi, di sini pada Ahad.
Fenomena laut terbelah berlaku selama satu jam 15 minit bermula seawal 6.45 pagi selepas air laut surut sehingga 0.1 meter (m) di kawasan itu sebelum muncul beting pasir sepanjang 600 m di Pantai Tanjung Rhu.
Fenomena unik muncul sekali setahun itu membolehkan pengunjung berjalan sehingga Pulau Penyu, Pulau Kelam Baya dan Pulau Cabang.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Datuk Haslina Abdul Hamid berkata, fenomena unik di Pulau Langkawi itu telah diketengahkan sebagai produk pelancongan sejak empat tahun lepas.
"Kejadian (beting pasir) ini dikatakan berlaku sejak lebih 19 tahun lalu, namun LADA mengambil inisiatif bekerjasama dengan sebuah hotel berhampiran dan mempromosinya sebagai aset pelancongan sejak empat tahun lalu," katanya.
Beliau berkata sedemikian selepas membuat tinjauan fenomena alam itu pada Ahad.
Turut hadir, Pegawai Daerah Langkawi, Mohamad Subhi Abdullah.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Laut Malaysia (JLM) Wilayah Utara, Muhammad Shuhaimi Abd Rahman mengesahkan air laut sekitar Langkawi surut pada paras 0.1 m selama dua hari pada awal pagi bermula Ahad.
Difahamkan, fenomena laut terbelah di Tanjung Rhu, di sini dijangka berulang semula bermula jam 7.30 pagi Isnin.