JOHOR BAHRU – Seramai 119,491 pengundi warga Indonesia yang berada di Johor, Pahang, Negeri Sembilan dan Melaka dijangka keluar mengundi sempena Pemilihan Umum Indonesia (Pemilu) 2024 di pusat mengundi di seluruh negeri pada Ahad.
Ketua Pelaksana Pemilu Luar Negara Johor Bahru, Ardiyanshah Syahrom berkata, daripada jumlah itu menyaksikan sejumlah 90,666 pengundi datangnya dari Johor dan mengundi di beberapa pusat di negeri ini.
Iklan
Iklan
Menurutnya, bagi pemilih berdaftar di Johor Bahru pada hari ini (Ahad) adalah seramai 2,684 orang yang mengundi di Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI).
"Peti undi atau 'drop box' kita telah jalankan sejak 5 Februari lalu sehingga hari ini. Sehingga 9 Februari lalu, kita telah dapat mengumpulkan 55,000 pemilih menerusi peti undi bergerak ini,” katanya pada sidang akhbar sempena proses undi awal di KJRI pada Ahad.
Untuk rekod, Pemilu 2023 akan diadakan pada 14 Februari ini dengan tempoh kempen bermula pada 28 November tahun lalu dan berakhir semalam.
Sementara itu, Ardiyanshah berkata, pihak KJRI Johor Bahru turut bertanggungjawab mengendalikan pemilihan menerusi peti undi bergerak membabitkan rakyat Indonesia di empat negeri iaitu Johor, Pahang, Negeri Sembilan dan Melaka pada Pemilu kali ini.
"Pemilihan melalui peti undi bergerak antaranya dijalankan di komuniti penempatan warga Indonesia serta kilang dan ladang di empat negeri tadi bermula 5 Februari lepas sehingga hari ini,” katanya.