'Sanusi jangan lepas tangan isu tunggakan gaji KDA FC' - AMK Kedah

Iklan
Sanusi

KEMELUT pemain pasukan bola sepak Kedah Darul Aman FC (KDA FC) berdepan tunggakan gaji perlu diselesaikan segera dengan bantuan kerajaan negeri.

Pengarah Komunikasi Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah, Mohammad Fitri Ismail berkata, biarpun kelab tersebut bukan dimiliki oleh kerajaan negeri, namun ia membawa nama Kedah dalam arena bola sepak negara.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dibimbangi sekiranya gagal diselesaikan dalam tempoh terdekat, KDA FC tidak dapat beraksi dalam Liga Super pada musim hadapan.

"Krisis tunggakan gaji pemain berlarutan sejak empat bulan lalu namun masih belum menemui penyelesaian.

Iklan

"Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor selaku penaung bola sepak negeri tidak boleh lepas tangan dalam isu ini, beliau seharusnya mempunyai keazaman politik (political will) untuk selesaikan masalah tersebut dari aspek bantuan kewangan,” katanya di sini pada Ahad.

Mohammad Fitri

Mohammad Fitri berkata, keprihatinan dan tanggung jawab kerajaan negeri amat diperlukan untuk memastikan Kedah terus memberikan saingan dalam liga negara.

Iklan

"Sanusi tidak boleh hanya berpeluk tubuh, perlu ambil tanggung jawab bantu cari penyelesaian isu ini yang sepatutnya selesai pada 31 Januari lalu.

"Ia perlu ditangani dengan cara lebih prihatin biar pun pasukan itu bukan lagi bawah pengurusan kerajaan negeri secara langsung dan dibiayai penaja,” ujarnya.

Menurutnya lagi, pengurusan KDA FC juga wajar memberikan penjelasan konkrit berkenaan hala tuju pasukan dan tidak membiarkan pemain berterusan tercari-cari arah masa depan mereka.

"Pihak pengurusan beri jaminan isu tunggakan gaji akan selesai, namun sehingga kini pemain masih lagi tidak mendapat bayaran gaji.

"Saya harap pengurusan pasukan tampil berikan penjelasan kepada pemain mahupun peminat bola sepak Kedah yang berhak tahu hala tuju dan situasi sebenar.

"Bayangkan bekerja tanpa gaji sudah pasti memeritkan mereka dengan tanggung jawab untuk menampung diri dan keluarga," ujarnya lagi.

Sebelum ini, tular perkongsian video di media sosial mendakwa pemain KDA FC ‘mengemis’ untuk mendapatkan hak mereka selepas beberapa bulan mengalami tunggakan pembayaran gaji.

Pengurusan KDA FC mengakui pasukannya mengalami masalah tersebut membabitkan skuad utama Liga Super serta pasukan bawahan kelab itu dan sedang berusaha menangani isu tersebut.

Pada Rabu, Sanusi tegaskan, kerajaan negeri tidak boleh lagi mencampuri urusan KDA FC kerana ia merupakan kelab swasta dimiliki individu serta diuruskan sebagai sebuah syarikat.

Menurutnya, apabila sudah diswastakan adalah menjadi tanggung jawab syarikat tersebut untuk menguruskan pembayaran gaji dan sebagainya.

Sementara pada 31 Disember lalu, Naib Presiden KFA, Muhammad Radhi Mat Din memaklumkan selaku badan induk bola sepak negeri, KFA sedang berbincang dengan KDA FC untuk menguruskan salah satu pasukan pembangunan di bawah kelab tersebut bagi musim 2024.

Exco Belia dan Sukan itu berkata, persatuan akan mengambil alih pasukan belia atau presiden untuk memberi tumpuan kepada bakat muda sekali gus membantu meringankan beban kewangan KDA FC.

Menurutnya, perkara tersebut masih lagi di peringkat perbincangan dan perlu diteliti oleh KFA dan KDA FC agar mematuhi peraturan ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) serta Malaysian Football League (MFL).