'Superman' ditahan, enam motosikal disita

Iklan
Aksi berbahaya dilakukan penunggang motosikal sebelum ditahan dalam Op Samseng Jalanan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban (PLUS) dan Lebuh Raya Shah Alam (Kesas), pada Sabtu.

KUALA LUMPUR - Tindakan sekumpulan penunggang motosikal melakukan aksi berbahaya membawa padah apabila ditahan dalam Op Samseng Jalanan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban (PLUS) dan Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) di sini pada Sabtu.

Operasi yang dijalankan sepasukan anggota dan pegawai unit peronda (EMPV) Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman itu turut menyita enam buah motosikal terlibat.

Iklan
Iklan

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Mohd Sapri berkata, operasi yang dijalankan dengan kekuatan dua pegawai dan sembilan anggota itu bermula kira-kira jam 10 malam.

"Sebanyak 106 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik.

Iklan

"Selain itu, enam motosikal turut disita dan dibawa ke Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai untuk tindakan lanjut," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Antara penunggang motosikal yang ditahan dalam Op Samseng Jalanan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban (PLUS) dan Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) di sini pada Sabtu.

Katanya, operasi sama turut dijalankan di Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) berjaya menahan seorang penunggang motosikal kerana menunggang secara berbahaya.

Iklan

"Suspek dikesan menunggang ala 'superman' di Kilometer 34.3 hingga 36.3 arah Kuala Lumpur sebelum ditahan anggota polis yang sedang menjalankan rondaan ketika itu.

"Suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya untuk tindakan lanjut," katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Penguatkuasaan dan operasi sentiasa dijalankan bagi memastikan peraturan dan undang-undang sentiasa dipatuhi pengguna.

"Polis akan terus memburu mana-mana individu yang berdegil dan tidak gerun dengan hukuman dikenakan atas kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.