SHAH ALAM - Video insiden seorang penunggang motosikal yang terus bersilat selepas dilanggar sebuah kereta petang semalam mengundang pelbagai reaksi netizen.
Lokasi kejadian itu berlaku bagaimanapun tidak dapat dipastikan sehingga kini.
Video berdurasi 1 minit tular di media sosial sejak malam tadi itu menunjukkan seorang penunggang motosikal dipercayai melanggar lampu isyarat merah dan menunggang motosikalnya dengan laju ketika kenderaan dari arah kiri sedang bergerak.
Motosikal itu kemudian dirempuh sebuah kereta dipercayai jenis Perodua Alza yang datang dari arah kiri.
Selepas beberapa saat dilanggar, penunggang berkenaan tiba-tiba berdiri, terus ‘buka langkah’ dan bersilat.
Lelaki berkenaan kemudian dilihat memegang kakinya mungkin kerana menahan kesakitan sebelum sekali lagi bersilat di tepi laluan berkenaan.
Video tersebut turut menunjukkan dua penunggang motosikal berhenti dan membantu mengangkat motosikal mangsa.
Sementara itu, pelayar Facebook dikenali sebagai Wan Wan di ruangan komen menulis mangsa mungkin melakukan tindakan demikian bagi menenangkan diri.
"Kaedah tenangkan diri kot,” tulisnya.
Yusof Abdullah pula di ruangan komen menulis hanya mereka yang mempelajari ilmu persilatan faham apa yang dilakukan lelaki terbabit.
"Kalau siapa belajar silat dia akan faham.. sebab keadaan terdesak ini benda ghaib pinjam sekejap tubuhnya demi menyelamatkan sahabatnya,” tulisnya.
Seorang lagi netizen, Rohayati Hashim menulis penunggang motosikal berkenaan mungkin bertindak demikian kerana terkejut selain ingin melupakan kesakitan.
"Melatah tu kak.. mungkin nak lupakan sakit.. kuat dentum tu. Terkejut kot kak.. melambung. Orang tak naik motor tak kemalangan tak rasa...saya kena walaupun tak bersilat tapi bangun rasa sakit badan oi,” tulisnya.