Mapim gerak usaha budayakan al-Quran

Iklan
Mohd Azmi (kiri) menyaksikan majlis penyerahan al-Quran Perkata oleh Zamri (tiga dari kanan) kepada wakil masjid di Kompleks Pendidikan Baitul Ridzuan, Manjoi baru-baru ini.

IPOH - Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menggerakkan usaha membudayakan al-Quran dalam kehidupan menerusi Program Semaran Malaysia Cinta Al-Quran.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, program tersebut diperkenalkan bertujuan membangunkan masyarakat berkualiti selaras dengan konsep masyarakat madani yang menjadi agenda Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Iklan
Iklan

Menurutnya, program tersebut akan dilaksanakan bersama modul Tadabbur al-Quran yang berpandukan kepada Tafsir al-Quran Perkata untuk rujukan.

"Kami berpendapat bahawa pembinaan masyarakat yang baik itu mestilah berlandaskan al-Quran. Jadi kita telah mengaitkan bahawa program ini selaras dengan agenda negara untuk kita menguatkan sahsiah ataupun keperibadian masyarakat.

Iklan

"Program ini akan menjadi titik tolak untuk kita mengembangkan pendidikan al-Quran dalam erti kata membaca dan memahami al-Quran,” katanya selepas Majlis Pelancaran Modul Tadabbur Quran dan Serahan Quran Perkata di Kompleks Pendidikan Baitul Ridzuan, Manjoi di sini baru-baru ini.

Hadir sama Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad.

Iklan

Mohd Azmi berkata, model tersebut merupakan yang pertama dimulakan di Parlimen Tambun sebelum diperluaskan ke kawasan Parlimen lain.

Jelasnya, program tersebut mengambil masa dilaksanakan ke semua peringkat dan akan mulakan di masjid-masjid terpilih di dalam kawasan Parlimen yang terlibat.

"Dalam tempoh tiga bulan pertama ini akan menunjukkan kepentingan program ini. Kita akan menjemput ahli-ahli Parlimen yang berminat untuk datang dan memahami bagaimana ia dilaksanakan dan kita mengharapkan mereka juga akan tertarik untuk mengikut model yang dibuat.

"Bermula di Perak, insya-ALLAH ia akan diperluaskan ke negeri-negeri lain yang berminat untuk melaksanakannya,” ujarnya.