NEW DELHI - Seorang doktor dipecat serta merta gara-gara melakukan penggambaran praperkahwinan bersama tunangnya dalam bilik bedah di sebuah hospital kerajaan di daerah Chitradurga, Karnataka.
Insiden itu yang dirakam dalam video telah tular di media sosial sehingga mencetuskan kemarahan dan membawa tindakan pantas oleh kerajaan di negeri Karnataka.
Rakaman itu menunjukkan Dr Abhishek melakukan pembedahan ke atas pesakit manakala tunangnya dilihat seperti pembantunya.
Pasangan itu dilihat menggunakan alat perubatan dan dikelilingi peralatan pencahayaan profesional dalam bilik bedah tersebut.
Suara ketawa oleh jurugambar dan juruteknik dalam video tersebut telah mencetuskan lagi kemarahan netizen yang menyatakan pasangan itu sengaja mempermainkan 'pesakit' yang sedang menjalani pembedahan.
Difahamkan pasangan itu melakukan video pra-perkahwinan bertemakan perubatan apabila pesakit dilihat ketawa selepas dibedah secara olok-olok itu,
Berikutan mendapat kritikan meluas, Menteri Kesihatan Karnataka, Dinesh Gundu mengarahkan doktor yang dilantik secara kontrak dipecat serta-merta.
Menteri itu menegaskan bahawa hospital kerajaan dibina untuk berkhidmat kepada orang ramai dan bukannya untukk tujuan peribadi.