Warga emas lumpuh rentung, rumah kedai terbakar

Iklan
Anggota bomba memadam api yang marak dalam kebakaran sebuah rumah kedai dua tingkat di Kampung Baru Ayer Tawar, Manjung, malam tadi.

MANJUNG - Seorang lelaki warga emas yang lumpuh, ditemui rentung dalam kebakaran sebuah rumah kedai dua tingkat di Kampung Baru Ayer Tawar, dekat sini, malam tadi.

Mangsa yang dikenali sebagai Loo Leng Wion, 90, ditemui berdekatan pintu sebuah bilik di tingkat atas rumah kedai berkenaan.

Iklan
Iklan

Difahamkan rumah kedai itu menjual barangan runcit.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada jam 11.41 malam.

Iklan

Menurutnya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Air Tawar yang tiba di lokasi seminit kemudian, mendapati kejadian melibatkan rumah kedai dua tingkat kelas A berkeluasan 100 kaki X 40 kaki yang musnah 70 peratus.

Katanya, anggota bomba dimaklumkan terdapat seorang mangsa di dalam rumah kedai itu dan pihaknya berusaha mencarinya.

Iklan

"Mangsa dijumpai pada jam 3.35 pagi berdekatan dengan pintu bilik di tingkat atas,” katanya dalam kenyataan pagi Isnin.

Sayani berkata, operasi pemadaman dijalankan menggunakan empat aliran lapan pancutan bersumberkan air dari pili bomba berdekatan.

Menurutnya, operasi turut dibantu jentera dan anggota dari BBP Sitiawan dan BBP Manjung, di samping Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Pekan Baru, PBS Teluk Intan, PBS Air Tawar dan PBS Pantai Remis.

Operasi diketuai Ketua Balai Bomba Air Tawar, Pegawai Bomba Tinggi II Zaki Mokhtaramin. - Awani