DOHA - Presiden Palestin, Mahmoud Abbas tiba di Qatar bagi mengadakan pertemuan dengan emir negara itu bagi membincangkan proses gencatan senjata perang Gaza.
Media antarabangsa melaporkan, Mahmoud akan bertemu emir Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani pada Isnin, namun, tidak jelas sama ada pemimpin tertinggi Qatar itu akan turut mengadakan pertemuan dengan pemimpin Hamas, kumpulan yang telah lama bersengketa dengan Mahmoud dan kumpulan Fatahnya yang berpangkalan di Tebing Barat.
Duta Palestin ke Qatar, Munir Ghannam memberitahu Voice of Palestine Radio pada Ahad, bahawa Mahmoud dan emir akan membincangkan usaha untuk mendapatkan gencatan senjata dengan Israel dan cara untuk meningkatkan bantuan kepada 2.3 juta penduduk wilayah terkepung itu.
"Qatar memainkan peranan penting dalam usaha antarabangsa dan pengantaraan untuk mencapai gencatan senjata. Oleh itu, penyelarasan dengan Qatar, juga dengan Mesir amat penting, untuk menamatkan pencerobohan ini terhadap rakyat kita," kata Munir.
Qatar juga menjadi tuan rumah kepada ketua Hamas, Ismail Haniyeh, serta seorang lagi pemimpin kanan dalam kumpulan itu, Khaled Meshaal, yang mengendalikan hal ehwal diaspora di pejabat politik Hamas.
Hamas telah menguasai Gaza pada 2007 daripada Mahmoud yang berpangkalan di Ramallah selepas perang saudara singkat dengan pasukan keselamatan yang setia kepada Presiden Palestin.
Kuasa Mahmoud sebahagian besarnya telah dikurangkan kepada Tebing Barat yang diduduki Israel, yang lebih besar daripada Gaza tetapi yang juga dipecahkan oleh penempatan Israel.
Percubaan lalu terutamanya diketuai oleh Mesir, untuk menyelesaikan pertikaian antara Hamas dan Fatah setakat ini gagal menamatkan perpecahan, yang menurut penganalisis melemahkan usaha Palestin untuk mendapatkan negara mereka sendiri di atas tanah yang kini diduduki oleh Israel.
Kebanyakan negara menganggap penempatan Yahudi yang dibina di atas tanah yang diduduki Israel dalam perang Asia Barat 1967 sebagai haram. - Awani/Agensi