ALLAHYARHAM Mohd Azraai Khor Abdullah, 72, sering mengingatkan bahawa kebajikan pemain bola sepak perlu dijaga.
Bekas Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pesanan itu disampaikan arwah ketika beliau mengendalikan Kedah menjadi pasukan pertama memenangi 'double treble' pada 2007 dan 2008.
Menurut beliau, Allahyarham mengingatkan dirinya sebagai peneraju bola sepak negeri dan Presiden Persatuan Bola Sepak bahawa kebajikan pemain bola sepak amat penting.
"Datuk jangan lupa tentang kebajikan pemain (dan) kebajikan pemain sangat penting. Kebajikan bukan saja gaji, bukan saja bonus, tapi kebajikan yang melibatkan famili, keluarga pemain sama ada beristeri ataupun ibu bapanya.
"Itu pesanan Allahyarham selalu kepada kita jaga kebajikan. Kalau awak jaga kebajikan pemain, insya-ALLAH pemain akan berusaha bersungguh-sungguh," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menziarahi keluarga Allahyarham di Alor Semadom, di Alor Setar, petang Ahad.
Menurutnya lagi, pasukan Kedah di bawah pimpinan Allahyarham mencapai 'double treble' sewaktu dirinya masih menjadi Menteri Besar Kedah pada 2007 dan 2008.
Beliau turut menyifatkan, kemenangan 'double treble' Kedah terbabit merupakan kejayaan amat cemerlang dan membanggakan.
"Allahyarham amat dedikasi buat kerja dan sangat bersemangat dalam dunia sukan bola sepak," katanya.
Sementara itu, Isteri Allahyarham, Rohani Ibrahim, 64, berkata, orang ramai tidak putus-putus menziarahi rumah biarpun sudah beberapa hari arwah suaminya meninggal dunia.
Menurutnya, dia terharu atas sokongan dan semangat orang ramai terhadap arwah suaminya yang berjuang dalam arena bola sepak sebelum ini.
Kata Rohani, keluarganya berasa amat dihargai apabila ramai tetamu kehormat, rakan-rakan seperjuangan dan kenalan terus berkunjung ke rumahnya.
"Tidak putus-putus (tetamu ziarah), dari mengiringi jenazah... saya anggap ia rezeki arwah yang merupakan orang amat baik," katanya.