Larangan tangkap ikan temelian tiga bulan

Iklan
Hebahan larangan tangkapan ikan temelian dilakukan awal bulan ini. (Foto Jabatan Perikanan Pahang). Gambar kecil: Abdullah

KUANTAN - Jabatan Perikanan Pahang mengeluarkan amaran larangan menangkap ikan temelian atau temoleh di semua sungai negeri ini ketika tempoh larangan tiga bulan bermula bulan ini.

Pengarahnya, Abdullah Jaafar berkata, notis larangan tangkapan terbabit disebarkan melalui pelbagai platform termasuk laman sosial Facebook.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ini kerana dalam tempoh itu, ikan terbabit berada di kawasan air cetek secara berpasangan dan bertelur.

"Ikan Temelian boleh mencapai berat 25 hingga 40 kilogram (kg) kini semakin berkurangan. Jadi, tidak mustahil menghadapi risiko kepupusan jika tangkapannya tidak dikawal terutama pada musim bertelur.

Iklan

"Disebabkan itu, kita mengeluarkan notis larangan bagi memberi peringatan kepada semua masyarakat," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Beliau menjelaskan sifat ikan temelian akan ke kawasan lubuk dan air cetek untuk bertelur secara berpasangan sekali gus memudahkan nelayan darat menangkapnya hanya menggunakan jaring hanyut.

Iklan

Tambahnya, spesies ikan sungai itu hanya terdapat secara bebas di sungai utama di Pahang dan Perak.

"Permintaan terhadap ikan itu adalah tinggi dan harganya mahal," ujarnya.

Abdullah berkata, mengikut peraturan Kaedah-Kaedah Perikanan (Perairan Sungai) 1991 Pahang, individu yang menangkap ikan temelian dalam tempoh larangan (Februari hingga April) boleh dikenakan tindakan.

Tegasnya, kompaun hingga RM5,000 dan peralatan menangkap ikan mereka dirampas.

Sehubungan itu, Jabatan Perikanan Pahang berharap para nelayan darat khususnya dan masyarakat umumnya dapat memanfaatkan kekayaan sumber perikanan secara bertanggungjawab supaya ia mampan.

"Elak penggunaan peralatan yang destruktif atau merosakkan sumber perikanan seperti racun tuba, bahan letupan dan elektrik, selain aktiviti yang menyebabkan pencemaran serta kerosakan alam sekitar.

"Penggunaan peralatan racun tuba, bahan letupan dan elektrik merupakan suatu kesalahan di bawah Kaedah-Kaedah Perikanan (Perairan Sungai) 1991 yang boleh dikompaun atau di dakwa di mahkamah," jelasnya.