Imam didakwa tumbuk, cekik, pijak isteri hingga cedera

Iklan
Muhammad Zaki (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan menumbuk, mencekik dan memijak isterinya sehingga cedera.

MELAKA TENGAH - Seorang imam dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan menumbuk, mencekik dan memijak isterinya sehingga cedera pada Mei tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Zaki Kamal, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret, Mohamad Izwan Mohamed Noh.

Iklan
Iklan

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya yang berusia 29 tahun dengan cara menumbuk muka sebelah kiri, mencekik leher dan memijak badan wanita itu.

Kesalahan tersebut dilakukan di dalam bilik tidur di sebuah rumah di Taman Paya Dalam, sekitar jam 7.45 malam pada 9 Mei 2019.

Iklan

Dia yang memakai baju berwarna merah jambu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama dengan Seksyen 326A kanun sama dan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau dengan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Prosiding pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Raudhah Mazman mencadangkan jaminan RM6,000 namun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan dengan alasan dia merupakan penjawat awam di Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan isteri tidak bekerja termasuk menyara dua orang anak yang masih kecil.

Iklan

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,500 dengan syarat tambahan hanya isterinya sebagai penjamin selain menetapkan 4 Februari depan sebagai sebutan semula kes.