Fenomena laut terbelah Pulau Giam tarik ribuan pengunjung

Iklan
Para pelancong menangkap hasil laut yang timbul akibat air surut ketika menyeberang ke Pulau Giam, bagi merasai fenomena air surut yang berlaku pada pertengahan Februari setiap tahun ketika tinjauan hari ini. Foto Bernama

LUMUT - Fenomena laut terbelah susulan kemunculan beting pasir sepanjang lebih 400 meter di Pulau Giam di sini, bukan sesuatu yang baharu, namun ia sentiasa menarik kehadiran puluhan ribu pengunjung dari dalam dan luar negara pada pertengahan Februari setiap tahun.

Penolong Pegawai Tadbir (Unit Pengurusan Pulau Bebas Cukai) Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Nur Aniessa Abd Aziz berkata, fenomena unik itu hanya berlaku sekali dalam setahun selepas air laut di kawasan berkenaan surut habis.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, kebiasaannya fenomena itu akan berlaku menjelang perayaan Tahun Baharu Cina dan ia bermula dari jam 10 pagi hingga 12 tengah hari selama tiga hari berturut-turut.

"Fenomena yang berlaku ini antara tarikan utama pengunjung ke Pulau Pangkor kerana mereka boleh merasai sendiri serta merakam pengalaman berjalan kaki dari Pantai Teluk Nipah ke Pulau Giam bersama keluarga," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Iklan

Nur Aniessa berkata, sepanjang merentasi tebing pasir berkenaan, para pengunjung turut berpeluang melihat dan memegang hidupan akuatik seperti gamat emas, timun laut dan sebagainya.

Nur Aniesa menunjukkan timun laut yang ditangkap waktu air surut ketika menyeberang ke Pulau Giam, bagi merasai fenomena air surut yang berlaku pada pertengahan Februari setiap tahun ketika tinjauan hari ini. Foto Bernama

"Ini (pengalaman melihat dan memegang hidupan akuatik) sedikit sebanyak memberi pengetahuan khususnya kepada kanak-kanak untuk mengetahui tentang hidupan akuatik yang banyak terdapat di kawasan ini," katanya.

Iklan

Dalam perkembangan berkaitan, Nur Aniessa berkata, keunikan fenomena terbabit juga mula diketengahkan sebagai antara produk pelancongan di pulau bebas cukai itu sejak empat tahun lalu.

"Jadi, selepas reda Covid-19 kita mula buat hebahan tentang fenomena ini dan alhamdulilah, impaknya kita nampak dengan bilangan pengunjung yang akan memenuhi pulau ini setiap kali menjelang perayaan Tahun Baharu Cina," katanya.

Selain itu, katanya, MPM berkolaborasi bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta polis bagi memastikan keselamatan para pengunjung terjamin semasa di lokasi tersebut.

Sementara itu, seorang pengunjung, Ahmad Fakiruddin Omar, 28, berkata, beliau bersama tiga rakan ke Pulau Pangkor atas urusan kerja namun tidak menyangka berpeluang menikmati fenomena berkenaan.

Ahmad Fakiruddin berkata, mereka hanya mengetahui tentang fenomena itu melalui pengusaha hotel tempat mereka menginap semalam selepas tiba ke lokasi berkenaan.

"Kebetulan ada masa yang terluang, jadi kami tak lepaskan peluang untuk merasai pengalaman merentasi tebing pasir ini.

"Amat menyeronokkan kerana kami dapat pegang sendiri timun laut yang banyak terdapat di sini," katanya.

Selain itu, pengunjung Lee Kam Seng, 34, yang berasal dari Selangor berkata, beliau ia dan isteri Lai Poh Lian, 30, sentiasa teruja menikmati fenomena tersebut walaupun itu merupakan kali ketiga berturut-turut mereka berkunjung ke lokasi tersebut.

Katanya, faktor keselamatan antara perkara utama yang perlu dititikberatkan kerana sebarang kemungkinan boleh berlaku sekiranya para pengunjung alpa. - Bernama