Ibu maut akibat dibakar, tiga beradik jadi pelajar angkat

Iklan
Arthur (tengah) bersama tiga beradik yang kehilangan ibu mereka dalam kejadian di Kampung Tinagalan, Sook, Keningau.
KENINGAU - Tiga beradik yang kehilangan ibu mereka dalam tragedi yang menyayat hati di Kampung Tinagalan, Sook, kira-kira dua minggu lalu mendapat perhatian Ahli Parlimen Pensiangan, Datuk Arthur Joseph Kurup.

Arthur yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makan mengambil inisiatif menjadikan ketiga-tiga beradik tersebut sebagai pelajar angkat.

"Saya akan mengambil tiga beradik ini sebagai pelajar angkat saya. Komitmen saya adalah untuk memastikan tiga beradik ini dapat dijaga dengan baik terutama pendidikan mereka semasa di sekolah.

"Saya juga komited untuk menanggung semua kos keperluan mereka sehingga selesai belajar di sekolah," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Dalam lawatan itu, Arthur turut menyampaikan bantuan kewangan bersama peralatan keperluan sekolah dan barangan dapur untuk keluarga tersebut di Kampung Linsuk, Sook.

Arthur turut menasihatkan walau apa pun cabaran yang menimpa, tiga beradik tersebut perlu menamatkan persekolahan kerana pendidikan akan membantu menjamin kehidupan dan masa depan mereka pada masa akan datang.

Sinar Harian pada 5 Februari lalu melaporkan seorang wanita maut dipercayai dibakar suaminya selepas berlaku pertengkaran antara kedua-duanya.

Difahamkan, pasangan tersebut telah meminum minuman keras jenis tapai sebelum bertengkar di mana wanita tersebut telah mencabar suaminya untuk membakarnya.

Tercabar dengan isterinya, lelaki tersebut bertindak mengambil gelen berisi petrol sebelum menyalakan api ke arah mangsa dan berlaku kebakaran yang turut memusnahkan rumah mereka.