WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden akhirnya terjebak dengan aplikasi TikTok apabila pemimpin berusia 81 tahun itu membuat kemunculan pertama di platform media sosial tersebut menerusi klip berdurasi 26 saat.
Rakaman video tersebut dikongsikan akaun kempen @bidenhq pada Ahad walaupun TikTok yang dimiliki ByteDance berpusat di China pernah menjadi topik perdebatan hangat dalam kalangan ahli politik negara itu kerana didakwa menjadi alat propaganda Beijing.
Rakaman itu juga memaparkan sisi berbeza Biden yang tetap berseloroh ketika diajukan beberapa soalan 'panas'.
Pada akhir klip itu, beliau disoal tentang siapa yang menjadi pilihannya, sama ada dirinya sendiri atau pendahulunya daripada Parti Republikan, Donald Trump.
"Adakah anda bergurau?Tentulah Biden,” katanya sambil tertawa.
Sebelum ini, beberapa negeri telah mengharamkan TikTok pada peranti rasmi kerajaan atas alasan keselamatan.
Tetapi, kerajaan persekutuan masih belum mengambil langkah susulan untuk menyekat aplikasi tersebut yang masih diteliti pihak berkuasa.
Menjelang Pilihan Raya Presiden pada November depan, TikTok dilihat sebagai satu-satunya platform yang dapat menjadikan calon lebih dekat dengan pengundi muda. - AFP