Nak ke Eropah, kena bincang dengan isteri - Afif

Iklan
Akram Afif muncul sebagai penggempur paling berbahaya dalam kejohanan Piala Asia. - Foto: Agensi

PENYERANG berbisa Qatar dengan gaya rambut afro mencuri perhatian ramai, Akram Afif mengakui masih menyimpan impian untuk kembali bermain di bumi Eropah.

Namun katanya, keputusan untuk bermain di luar negara perlu mendapat persetujuan pelbagai pihak termasuk kata dua daripada isterinya.

Iklan
Iklan

"Kalau boleh esok juga saya nak bermain untuk kelab di Eropah. Tetapi bukan saya yang membuat keputusan kerana pandangan isteri juga perlu diambil kira.

"Bukan mudah untuk meninggalkan kelab serta negara dan jika saya ke Eropah, saya tidak mahu sekadar memanaskan bangku pemain simpanan,” katanya.

Iklan

Akram menjadi pemain Qatar pertama yang ditandatangani kelab La Liga apabila dia berpindah ke Villarreal pada 2016, tetapi dipinjamkan ke Sporting Gijon sebelum dihantar ke Eupen (Belgium) dan akhirnya kembali ke Al-Sadd pada tahun 2018.

Penggempur berusia 27 tahun itu merangkul anugerah Kasut Emas dan dinobat sebagai Pemain Paling Bernilai bagi kejohanan Piala Asia edisi 2023.

Iklan

Jaringan hatriknya ketika membantu Qatar mengatasi Jordan di pentas final membolehkannya memintas penggempur Iraq, Aymen Hussein yang sekadar menyumbat enam gol sepanjang kejohanan berlangsung.

Secara keseluruhan, Akram menjaringkan lapan gol iaitu satu pencapaian peribadi terbaik pemain berusia 27 tahun itu berbanding dilakukannya empat tahun lalu di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Akram juga memegang rekod sebagai pemain yang paling banyak mencipta bantuan jaringan dengan 13 'assist' dalam sejarah penganjuran Piala Asia.

Aksi final di Stadium Lusail pada lewat malam Sabtu turut menyaksikan Akram dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan.