Pileg sama penting seperti Pilpres

Iklan
Pilpres dan Pileg bakal diadakan serentak pada hari esok.

JAKARTA - Pada hari esok, kira-kira 205 juta pengundi termasuk 106.7 juta golongan Milineal dan Gen Z yang mewakili suara penting di Indonesia tidak hanya akan memilih pengganti Presiden Joko Widodo atau Jokowi malah anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), Dewan Perwakilan Daerah (DPD), Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) provinsi dan Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) kabupaten/kota yang akan berkhidmat untuk tempoh lima tahun akan datang.

Pilihan Raya Legislatif (Pileg) juga sama penting seperti Pilihan Raya Presiden (Pilpres) yang lebih mendapat perhatian ramai.

Iklan
Iklan

Sebanyak 580 kerusi DPR bakal jadi rebutan dan kira-kira 9,917 calon legislatif (Caleg) mewakili 18 parti politik akan bersaing di 84 daerah pemilihan.

Selain itu, terdapat lima kerusi baharu selepas empat wilayah diwujudkan, sekali gus menjadikan provinsi di negara itu kini berjumlah 38.

Iklan
Lingga Permesti (kanan) mewakili Parti Keadilan Sejahtera (PKS) memberi penerangan tentang cara mengundi ketika mengunjungi penduduk di Klaten, Jawa Tengah.

APAKAH FUNGSI DPR?

DPR berfungsi untuk mengesahkan pelantikan Presiden, membahaskan dan meluluskan rang undang-undang (RUU) serta bajet dan dasar pemerintah serta mengawasi pelaksanaannya.

Iklan

Kebanyakan undang-undang diluluskan sama ada secara konsensus atau majoriti mudah.

Presiden yang meraih sokongan lebih ramai anggota dewan memberi kelebihan besar kepada beliau untuk meneruskan dasar baharu dan reformasi dengan lebih cepat termasuk kelulusan belanjawan.

Ketika ini, terdapat 575 anggota yang mana 471 atau 82 peratus daripadanya adalah daripada parti politik yang berada di bawah gabungan menyokong Jokowi manakala selebihnya mewakili kem pembangkang.

KEPUTUSAN PILEG BAKAL PENGARUHI PILPRES 2029?

Parti politik atau gabungan parti yang memperoleh 20 peratus undi legislatif pada 2024 dapat meletakkan calon presiden (Capres) dan calon wakil presiden (Cawapres) mereka pada Pemilihan Umum (Pemilu 2029).

Kempen pilihan raya yang dimeriahkan dengan 'perang bendera' kini tamat dan memasuki fasa bertenang selama tiga hari bermula Ahad.

Pilpres tiga penjuru pada kali ini menyaksikan Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) adalah satu-satunya parti yang menepati kriteria tersebut dan ia menyokong Capres No.Siri Tiga, Ganjar Pranowo yang bergandingan dengan Mahfud MD.

Capres No.Siri Satu, Anies Baswedan bersama Muhaimin Iskandar pula disokong pakatan pimpinan Parti NasDem manakala Prabowo Subianto-Gibran Rakabuming Raka mendapat sokongan Parti Gerindra dan Golkar.

Keputusan Pileg juga akan menentukan siapa bakal menggantikan Jokowi, namun ia hanya berlaku jika Pilpres menyaksikan pusingan kedua apabila tiada pasangan calon (Paslon) meraih lebih 50 peratus undi diperlukan pada putaran pertama.Di bawah peraturan Pemilu, Paslon memerlukan majoriti mudah untuk diumumkan sebagai pemenang selain mendapatkan sekurang-kurangnya 20 peratus undi di lebih separuh daripada 38 provinsi seluruh negara.

Seorang lelaki membuang undi ketika latihan proses pengundian di Banda Aceh pada bulan lalu.

Jika gagal, dua Paslon yang meraih keputusan undi tertinggi bakal bersaing pada pusingan kedua yang dijadualkan pada Jun depan.

Paslon dikatakan berpeluang besar untuk memenangi putaran kedua jika mereka disokong parti yang memperoleh undi paling tinggi pada Pileg kerana ia sudah menerima undi percaya daripada orang ramai. - Agensi