PADA Jumaat lalu, Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 8-1 memutuskan bahawa 16 kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 adalah batal dan tidak sah.
Keputusan bersejarah itu disampaikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel sembilan anggota selepas membenarkan permohonan dua wanita Islam bagi mencabar isu perlembagaan untuk membatalkan 18 peruntukan kesalahan di bawah enakmen tersebut.
Dua seksyen yang dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan ialah Seksyen 13 iaitu menjual atau memberikan anak kepada bukan Islam atau Muslim yang tercela dari segi moral dan Seksyen 30 iaitu menggunakan perkataan yang boleh memecahkan keamanan.
Terdahulu, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid yang berasal dari Kelantan dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Abdul Rahman memfailkan petisyen itu ke Mahkamah Persekutuan mengikut Perkara 4(4) Perlembagaan Persekutuan serta menamakan kerajaan negeri Kelantan sebagai responden tunggal.
Mereka mencabar keperlembagaan dan kesahihan 18 peruntukan dalam enakmen tersebut serta mendakwa Dewan Undangan Negeri Kelantan tidak mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang ke atas 18 kesalahan terbabit kerana terdapat undang-undang Persekutuan yang meliputi kesalahan sama.
Ekoran itu, pelbagai reaksi berhubung keputusan tersebut.
Bagi golongan yang memahami dengan jelas tentang penghakiman yang dibuat, maka tidak ada masalah timbul.
Namun bagi golongan tertentu, mereka melihat isu tersebut dari sudut politik. Natijahnya sesiapa juga yang jadi pemerintah pasti akan diserang dan menerima kritikan.
Bagaimanapun, akhbar ini melihat tentang keperluan kerajaan supaya mengambil langkah-langkah wajar untuk terus memperkasakan perundangan syariah di negara ini.
Kita semua harus melihat keputusan mahkamah yang dibuat pada Jumaat lalu itu sebagai satu hikmah dan ruang terbaik untuk melakukan reformasi.
Jika kerajaan hari ini berjaya menyelesaikan isu tersebut, ia diyakini dapat menutup peluang pihak lain untuk menangguk di air yang keruh.