Perintis ternakan tilapia sangkar

Iklan
Sebanyak 2,000 ekor anak ikan tilapia dilepaskan ke dalam satu sangkar untuk diusahakan peserta.

SERDANG - Spesies ikan yang mudah diuruskan, memiliki daya tahan tinggi dan cepat membesar menjadi faktor tilapia merah dijadikan ikan ternakan dalam sangkar untuk diusahakan peserta projek Inisiatif Pendapatan Rakyat Inisiatif Usahawan Tani (IPR-INTAN) bagi sektor akuakultur di Pusat Pembenihan Ikan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Pensyarah Kanan Fakulti Pertanian UPM, Dr Fadhil Syukri berkata, lima peserta IPR-INTAN yang juga kumpulan pertama projek itu sedang mengusahakan ternakan tilapia dalam sangkar pada Disember lepas.

Iklan
Iklan

"Mereka ini telah mengikuti kelas bimbingan pada November dan Disember lepas. Apabila kita pasti mereka betul-betul faham, baru mula dengan latihan amali iaitu menguruskan ikan dalam sangkar pada Disember.

Spesies ikan yang mudah diuruskan, memiliki daya tahan tinggi dan cepat membesar menjadi faktor tilapia merah dijadikan ikan ternakan dalam sangkar untuk diusahakan peserta.

"Kita mula dengan ikan tilapia, ketika itu saiz (ketika dilepaskan dalam sangkar) antara dua dan tiga inci. Satu sangkar kita lepaskan 2,000 ekor anak ikan,” katanya ketika ditemui di Pusat Pembenihan Ikan UPM baru-baru ini.

Iklan

IPR-INTAN merupakan strategi serampang dua mata dengan sasaran meningkatkan pendapatan peserta dan memberi pendedahan tentang pertanian pintar berteraskan Internet Kebendaan (IoT).

Fadhil yang berpengalaman 15 tahun dalam bidang pembenihan ikan berkata, setiap peserta dipertanggungjawab menjaga empat sangkar tilapia dan ikan-ikan itu dijangka mencapai saiz antara 400 dan 500 gram pada April atau Mei ini.

Iklan

"Apabila ikan-ikan sudah capai saiz besar, kita anggarkan seorang peserta akan urus lapan sangkar ikan. Keseluruhannya, kita sasar 1,000 ekor dalam satu sangkar,” katanya yang mempunyai kepakaran dalam bidang genetik akuakultur dan pembiakbakaan.

Beliau berkata, ketika ini setiap peserta perlu memberi ikan makan tiga kali sehari, namun tidak lama lagi, pihak UPM akan menggunakan mesin makanan ikan automatik selaras dengan objektif IPR-INTAN iaitu pertanian pintar berteraskan IoT.

Dr Fadhil menunjukkan anak ikan yang digunakan dalam projek berkenaan.

"Kita mahu menggalakkan peserta guna elemen IoT. Apabila ada mesin makanan automatik, ikan-ikan akan diberi makanan iaitu dedak ikut kesesuaian, contohnya tiga atau empat jam sekali.

"Apabila kerap bagi makan, ikan tidak lapar dan bantu tumbesaran,” katanya menambah dedak tersebut diperbuat daripada campuran baja ikan, serbuk ikan, jagung dan soya.

POTENSI

Mengenai potensi pasaran tilapia yang diusahakan peserta IPR-INTAN itu, Fadhil berkata, spesies berkenaan menjanjikan pendapatan lumayan buat peserta kerana sentiasa mendapat permintaan di pasaran negara.

"Tilapia ini nanti kita tolak RM10. Satu sangkar boleh dapat hasil hingga satu tan, jadi satu sangkar dianggarkan dalam RM10,000 hasil jualan,” katanya.

Fadhil berkata, untuk tempoh beberapa bulan akan datang, kumpulan peserta IPR-INTAN yang baharu berkemungkinan mengusahakan ikan patin dan siakap air tawar dalam sangkar.

"Insya-ALLAH banyak penyelidikan yang UPM akan buat pada masa depan. Kami akan hasilkan lebih banyak benih ikan yang boleh dimanfaatkan peserta IPR-INTAN,” katanya.

Mengenai proses penyertaan IPR-INTAN, beliau berkata, program itu terbuka kepada golongan miskin tegar dan B40 yang ingin meneroka teknologi baharu dalam bidang pertanian dan mendapatkan bimbingan daripada pakar bidang pertanian pintar UPM dalam meningkatkan pendapatan masing-masing.

Katanya, kira-kira sembilan pensyarah UPM daripada pelbagai fakulti, antaranya Fakulti Pertanian, Fakulti Kejuruteraan, Fakulti Perubatan Veterinar serta Sekolah Perniagaan dan Ekonomi dipertanggungjawab untuk mengendalikan kelas bimbingan kepada peserta IPR-INTAN.

Dr Fadhil memberi penerangan ketika ditemui di Pusat Pembenihan Ikan UPM baru-baru ini.

"Kemasukan adalah percuma. Semua peserta akan didedahkan dengan pelbagai ilmu bagi membantu mereka menjadi petani atau penternak yang berjaya,” katanya.

Pada 24 Februari lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023 berkata, kerajaan akan melaksanakan IPR dengan peruntukan RM750 juta kepada Kementerian Ekonomi bagi menjayakan program berkenaan.

Program tersebut menyasarkan peserta dari keluarga miskin tegar dan B40 meraih pendapatan antara RM2,000 dan RM2,500 sebulan, dalam tempoh pemantauan 24 bulan, seterusnya menjana pendapatan sendiri melalui hasil yang diperoleh.

Pada 24 Julai lepas, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli merasmikan IPR-INTAN@UPM yang menyasarkan 40 peratus peserta daripada golongan graduan universiti dan 60 peratus peserta IPR serta e-Kasih.