CONOR Gallagher meledak dua gol untuk membantu Chelsea menewaskan Crystal Palace 3-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Selasa.
Eagles berada pada landasan untuk meraih kemenangan besar dalam perjuangan mereka untuk kekal dalam Liga Perdana apabila jaringan jarak jauh Jefferson Lerma membuka jaringan untuk pasukan itu.
Tetapi, Palace yang hanya menang tiga kali dalam 19 perlawanan hampa apabila gol itu disamakan oleh Gallagher dua minit selepas separuh masa kedua bermula.
Gallagher meledak gol kedua malam itu dan Enzo Fernandez menambah gol ketiga pada masa kecederaan untuk mengangkat Chelsea naik ke tangga ke-10.
Kekalahan itu menyaksikan Palace berada hanya lima mata di atas zon penyingkiran di tangga ke-15.
"Kami bermula dengan betul-betul mendatar, kami tidak menunjukkan fokus yang mencukupi. Ia adalah 45 minit pertama yang sangat sukar.
"Separuh masa kedua kami bermula dengan sangat baik, menjaringkan gol 1-1 dan ia membolehkan kami menguasai permainan," kata pengendali Chelsea, Mauricio Pochettino.
The Blues meneruskan rentak positif selepas sebelum ini turut melakar kemenangan ke atas Aston Villa dalam aksi Piala FA minggu lalu.