KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menyediakan rumah transit bagi menempatkan lima keluarga yang terlibat dalam kejadian kebakaran di Flat Sri Sabah pada Ahad.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, rumah transit di Flat Sri Johor, Cheras itu boleh diduduki mulai Khamis ini.
Menurutnya, mangsa dibenarkan mendiami rumah transit itu antara enam bulan hingga tiga tahun."DBKL juga akan mengambil tanggungjawab membaiki kerosakan di luar rumah manakala bahagian dalam rumah pula di atas tanggungjawab pembeli sendiri," katanya pada Selasa.
Beliau ditemui ketika melawat mangsa kebakaran yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Cheras.
Dr Zaliha berkata, setiap keluarga terjejas menerima wang tunai disumbangkan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) sebanyak RM5,000, DBKL (RM1,000), pejabat Ahli Parlimen Bandar Tun Razak (RM1,000) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat RM300.
Ujarnya, bantuan telah disalurkan sejak Isnin merangkumi keperluan harian antaranya peralatan mandian dan tuala wanita serta periuk nasi.
Dalam pada itu, beliau berkata, JWP bersedia bekerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi meningkatkan aspek penyelenggaraan sistem penggera kebakaran dan keselamatan di perumahan awam DBKL.
"Ini perlu dilakukan dengan membuat pemeriksaan bagi memastikan sistem penggera kebakaran dan keselamatan berfungsi sewaktu kecemasan.
"Suka juga saya ingatkan kepada penduduk dan orang awam supaya sama-sama menjaga harta awam.
"Kita bimbang pada waktu kecemasan, alat pemadam api tidak boleh digunakan kerana dalam keadaan rosak yang mungkin disebabkan vandalisme," katanya.
Sementara itu, Wan Azizah mengesyorkan orang awam didedahkan dengan pengetahuan penggunaan alat pemadam api yang boleh dipraktikkan ketika berdepan situasi kecemasan sementara menunggu bantuan JBPM tiba.