Kempen PRK Kimanis semakin 'panas'

Iklan
Pekan Lama Membakut mula dihiasi dengan bendera calon-calon yang bertanding. - Foto Bernama

KIMANIS - Bahang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis semakin dirasai pada hari keempat kempen hari ini.

Tinjauan mendapati suasana kempen yang tidak begitu rancak pada hari pertama selepas hari penamaan calon pada Sabtu lalu, kini mulai meriah dengan deretan bendera putih dan biru di sekitar kawasan Membakut dan Bongawan di sini.

Jentera kempen kedua-dua parti politik yang bertanding mula memperhebatkan kerja-kerja menggantung dan memasang poster serta kain rentang yang memaparkan gambar calon serta logo parti masing-masing sejak semalam.

Iklan
Iklan

Seorang petugas jentera Parti Warisan Sabah (Warisan), Azman Jamily, 30, berkata, jentera parti mula memasang bendera sejak hari penamaan calon pada Sabtu lalu terutama di kawasan strategik seperti di jambatan dan kawasan tumpuan ramai.

"Kita mula awal (pasang bendera) kerana mahu dapatkan tempat paling strategik dan tempat yang sering dilalui oleh orang rama. Kita juga mahu dapatkan tempat sebelum parti lawan datang ke lokasi itu,” katanya di sini hari ini.

Iklan

Kehangatan suasana kempen juga dirasai dengan calon-calon yang bertanding mengadakan pelbagai program turun padang dan ceramah bagi memenangi hati pengundi.

Platform ceramah digunakan sebaiknya oleh parti yang bertanding bagi menerangkan perancangan dan agenda yang bakal dibawa di samping menangkis serangan daripada pihak lawan.

Iklan

Sementara itu, tinjauan di sekitar kawasan Beaufort mendapati PRK itu ternyata membuka pintu rezeki kepada peniaga di kawasan itu.

Peniaga makanan, Amanina Azman, 19, berkata, permintaan untuk kepak ayam madu bakar dan pisang goreng yang beliau jual meningkat dua kali ganda sejak dua hari lepas.

"Ada pembeli yang datang dari luar. Mungkin terlibat dengan PRK Kimanis. Waktu perniagaan saya ubah, saya membuka kedai lebih awal dan tutup lewat sedikit daripada kebiasaan,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam kenyataan semalam memaklumkan belum ada kesalahan pilihan raya yang direkodkan oleh Pegawai Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PPKPR).

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak pula berkata, pihaknya menerima dua laporan berkaitan PRK Kimanis dengan satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Beliau berkata, sehingga kini sebanyak 33 permit kempen politik dikeluarkan polis bagi PRK tersebut. - Bernama