KUANTAN - Seorang ibu menarik nafas lega apabila dua anak perempuan berusia 14 dan 16 tahun yang dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu ditemui dalam keadaan selamat, tengah malam pada Isnin.
Dua beradik itu ditemui berada di sebuah rumah sewa di Balok Baru di sini dipercayai disewa kenalan rakan perempuan mereka.
Ibu dua remaja berkenaan dikenali sebagai Nurain berkata, dua anaknya itu ditemui berdasarkan maklumat rakan-rakan mereka yang turut membantu mencari.
Menurutnya, tiada perkataan yang mampu diluahkan untuk menggambarkan perasaan gembira dan rasa bersyukurnya setelah melihat dua anak perempuan kesayangannya itu sudah berada di depan mata.
"Tiga malam saya tidak lena tidur memikirkan mereka malah suami yang menghidap tiroid turut terjejas kesihatannya kerana terkejut dengan kehilangan itu.
"Alhamdulillah, saya bersyukur kepada ALLAH mereka sudah ditemui dalam keadaan selamat tanpa sebarang kejadian tidak diingini," katanya ketika ditemui di rumahnya pada Selasa.
Nurain berkata, kedua-dua anaknya merupakan pelajar madrasah (berasingan) keluar rumah kira-kira jam 5 petang pada Jumaat untuk bertemu rakan di bandar Kuantan.
"Dia (anak) ada beritahu tentang hasrat mereka itu melalui WhatsApp.
"Kira-kira jam 10.20 malam mereka tidak pulang lalu saya cuba menghubunginya namun gagal," katanya.
Bimbang keselamatan anak perempuannya itu, Nurain nekad keluar mencari di sekitar Balok namun gagal malah rakan-rakan mereka yang dihubungi juga mengakui tidak tahu keberadaan dua beradik itu.
"Ketika itu saya teringat salah seorang rakan perempuan mereka yang mungkin ada jawapan kepada kehilangan itu namun malangnya gadis berusia 18 tahun itu juga mendakwa tidak tahu.
"Saya syak ada seseorang di sebalik kejadian kerana sebelum ini juga pernah ada kejadian hampir sama berlaku terhadap dua beradik ini," katanya.
Dia berkata, anak-anaknya mendakwa mereka menginap di sebuah hotel selama dua malam dipercayai dibiayai seseorang.
"Lepas itu mereka dibawa ke sebuah rumah sewa di Balok Baru.
"Tidak mungkin mereka menyewa sendiri hotel kerana yang saya tahu dua beradik ini hanya ada wang beberapa puluh ringgit sahaja ketika keluar dan kad pengenalan kedua-duanya dalam simpanan saya.
"Kalau benar ada pihak lain terlibat, saya tidak pasti tujuannya kerana setakat ini mengikut anak-anak saya mereka tidak diapa-apakan," ceritanya.
Menurutnya, anak-anaknya itu memberitahu mereka tiada niat untuk lari rumah dan mahu segera pulang namun mendakwa takut dimarahi atau ada kemungkinan juga dihalang.
Nurain yang membuat laporan polis tentang kehilangan anaknya itu Ahad lalu tidak menolak kemungkinan akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak terlibat tersebut.
"Mungkin saya akan buat laporan polis untuk tindakan lanjut.
"Saya serahkan kepada pihak polis untuk melakukan siasatan tentang kejadian yang berlaku sama ada melibatkan unsur jenayah atau sebaliknya," jelasnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu mengesahkan berhubung penemuan dua beradik terbabit.
Menurutnya, dua beradik itu akan dibawa untuk siasatan lanjut atas laporan orang hilang yang dibuat sebelum ini.