KEMAMAN - Seramai 156,509 daripada 871,000 penduduk yang berusia 18 tahun ke atas di Terengganu sudah kemas kini sistem Pangkalan Data Utama (PADU) setakat 11 Februari lepas.
Pengarah Jabatan Perangkaan Negeri Terengganu, Marlini Sahul Hamid berkata, daripada jumlah itu, penduduk di daerah Kuala Terengganu merekodkan pendaftaran tertinggi dengan 34,750 orang, diikuti Besut (23,370) dan Dungun (21,601).
Selain itu, katanya, Kemaman merekodkan jumlah pendaftar sebanyak 19,651 orang, Marang (17,994), Hulu Terengganu (12,398) dan Kuala Nerus (10,997)
"Antara faktor menyebabkan ramai masih tak isi sistem PADU disebabkan mereka masih tak faham lagi tentang keperluan nak kemas kini. Keduanya, mereka bimbang soal keselamatan data dan ada yang tunggu saat akhir nak isi.
"Kita sudah terangkan kepada mereka tentang keselamatan rangkaian data. Mereka juga tak perlu tunggu saat akhir untuk kemas kini malah sistem yang ada ini mempunyai keselamatan tertinggi dan sentiasa dipantau dari semasa ke semasa," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program pengisian PADU bersama Orang Asli di Dewan Orang Ramai Kampung Orang Asli Sungai Pergam, dekat sini pada Selasa.
Mengulas lanjut, Marlini berkata, pelbagai usaha dan kempen sedang dijalankan menerusi kerjasama semua pihak bagi memastikan semua rakyat mendaftar sistem PADU sebelum 31 Mac depan.
"Kita juga sedang giat menjalankan program pendaftaran PADU di kawasan penempatan orang asli bagi memastikan mereka tidak ketinggalan," ujarnya.
Sementara itu, ujar beliau, proses pendaftaran PADU melibatkan 1,072 Orang Asli di tiga penempatan iaitu Sungai Berua, Hulu Terengganu; Sungai Pergam, Kemaman dan Sungai Sayap, Besut hampir selesai.
Marlini berkata, setakat ini pihaknya mendapat kerjasama baik daripada masyarakat orang asli sekali gus melancarkan urusan pendaftaran.
"Di Sungai Berua urusan pendaftaran lebih 300 orang sudah selesai.
"Hari ini dan esok kita akan selesaikan pendaftaran dan di Sungai Pergam sebelum ke Sungai Sayap dalam masa terdekat," katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menunggu saat-saat akhir untuk mendaftar di sistem PADU bagi mengelak tercicir daripada program bantuan atau subsidi oleh kerajaan.