Permohonan Najib tangguh prosiding saman LHDN didengar 24 Januari

Iklan
Najib

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 24 Januari untuk mendengar permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menangguhkan prosiding saman Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terhadapnya untuk membayar cukai pendapatan berjumlah RM1.69 bilion sementara menunggu rayuan berhubung taksiran cukai kepada LHDN.

Peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee yang mewakili Najib memaklumkan tarikh itu kepada pemberita selepas pengurusan kes itu di dalam kamar di hadapan Hakim Datuk Ahmad Bache yang turut dihadiri peguam Datuk D P Naban bagi pihak LHDN.

Iklan
Iklan

Muhammad Farhan berkata, tarikh bagi pendengaran permohonan LHDN untuk mendapatkan penghakiman ringkas terhadap Najib masih belum ditetapkan oleh mahkamah.

Penghakiman ringkas adalah penghakiman yang dibuat oleh mahkamah tanpa perbicaraan penuh.

Iklan

Pada 8 Ogos tahun lepas, Najib memfailkan permohonan untuk menangguhkan prosiding saman oleh LHDN yang menuntut beliau membayar cukai pendapatan berjumlah RM1.69 bilion, sementara menunggu rayuannya berhubung taksiran cukai kepada LHDN.

Bagaimanapun LHDN dalam afidavit sokongannya berkata, Najib masih perlu membayar jumlah RM1.69 bilion itu walaupun beliau telah memfailkan rayuan terhadap taksiran cukai itu.

Iklan

Penolong Pengarah Unit Pemantauan LHDN, Hisyamuddin Mohd Hassan dalam afidavit sokongannya berkata, menurut Seksyen 103 Akta Cukai Pendapatan 1967, semua cukai yang ditaksir perlu dibayar pada hari notis taksiran diserahkan sama ada orang itu merayu ataupun tidak terhadap taksiran itu.

Pada 25 Jun tahun lepas, kerajaan menerusi LHDN menyaman Najib menuntut beliau membayar RM1.69 bilion bagi cukai pendapatan yang belum dibayar dengan kadar faedah lima peratus setahun dari tarikh penghakiman serta kos dan rellef lain difikirkan sesuai oleh mahkamah. - Bernama