KUALA LUMPUR - Wanita warga Thailand yang sarat mengandung berdepan detik cemas apabila terpaksa melahirkan bayi di tepi Lebuhraya Utara-Selatan (Plus), pada Isnin.
Bagaimanapun, bayi terbabit berjaya dilahirkan dengan selamat dengan bantuan anggota polis yang kebetulan sedang melakukan rondaan di kawasan itu.
Kejadian yang dikongsikan menerusi halaman rasmi Facebook Polis Diraja Malaysia itu menyatakan, ketika kejadian seorang pegawai serta dua anggota menjadi 'penyelamat pertama' di lokasi Lebuhraya PLUS arah utara apabila membantu keluarga warganegara Thailand yang bakal mendapat cahaya mata baharu itu.
Menurut hantaran berkenaan, kejadian berlaku ketika mereka sedang dalam penugasan Op Selamat 21.
"Mereka kemudiannya memaklumkan kepada anggota dan pegawai bertugas tentang wanita berkenaan yang telah sarat untuk melahirkan bayi," katanya.
Katanya, pada mulanya kenderaan pasangan warga Thailand itu diiringi untuk ke hospital berhampiran.
"Bagaimanapun, wanita terbabit melahirkan bayinya di tepi lebuh raya itu dengan bantuan anggota polis terlibat.
"Ambulans kemudiannya tiba di lokasi kejadian untuk memberikan rawatan kepada wanita terbabit," katanya.