Tak wajar peniaga buat pinjaman melebihi 35 peratus pendapatan

Iklan
Azizul Azli. Laporan muka depan Sinar Harian pada Isnin.

SHAH ALAM - Golongan peniaga tidak wajar membuat pinjaman kewangan melebihi 20 hingga 35 peratus daripada jumlah pendapatan kerana berisiko berdepan masalah aliran tunai.

Pakar kewangan, Dr Azizul Azli Ahmad berkata, peniaga perlu memahami nisbah hutang yang ditetapkan dan menitikberatkan tiga bahagian iaitu perbelanjaan kos bahan mentah, upah pekerja atau sewa tempat serta keuntungan sepanjang menjalankan bisnes.

Iklan
Iklan

"Kawalan hutang sebenarnya sangat penting bukan setakat peniaga, malah orang biasa juga, namun kategori peniaga lebih kritikal kerana pendapatan tidak tetap. Adakala tinggi, sederhana, rendah bahkan negatif.

"Hutang jangan dibuat main-main, kadangkala kita rasa amaun kecil sahaja dan masih terkawal, tapi apabila ia mula membesar memang akan menjejaskan diri serta syarikat, kemudian keharmonian rumah tangga,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Iklan

Pada Isnin, laporan muka depan Sinar Harian menunjukkan ramai individu terjerat dengan hutang besar sehingga mencecah jutaan ringgit kerana membuat pinjaman kewangan.

Azizul Azli memaklumkan, pengurusan akaun dan kewangan yang tidak cekap merupakan faktor utama individu, peniaga atau syarikat tidak mampu bertahan lama sehingga gagal membayar hutang serta diisytiharkan bankrap.

Iklan

Hal ini kerana menurutnya, mereka sentiasa berfikir bahawa keuntungan yang diperoleh adalah hak milik penuh sehinggakan terlupa mengenai tiga perkara asas dalam nisbah hutang.

"Mereka selalu terlupa sebab merasakan keuntungan meniaga semua hak dia, contohnya bulan ini untung RM5,000 dan semua dia punya, ia sebenarnya salah.

"Katakanlah daripada keuntungan RM5,000, gaji sepatutnya dapat RM3,000 maka selebihnya hak milik syarikat untuk digunakan sebagai modal besarkan perniagaan.

"Justeru, mereka perlu ada pengetahuan asas tentang hutang, kaedah menjana duit dan pengurusan kewangan akaun syarikat yang betul,” ujarnya.

Beliau tidak menafikan perubahan pola ekonomi, produk tidak menepati kehendak pelanggan dan strategi pemasaran kurang mantap juga menyebabkan segelintir peniaga terpaksa membuat pinjaman berskala besar berikutan terpengaruh ajaran mentor perniagaan masing-masing.

Tambah Azizul Azli, segelintir mentor mahu anak didik memulakan bisnes secara gah dan nampak sempurna mengikut silibus perniagaan yang disediakan kerana ia sememangnya memerlukan kos tinggi.

"Saya perasan hari ini modul perniagaan semuanya terikat dengan kemestian melakukan hutang, sedangkan saya yakin dalam sistem perniagaan sebenarnya ada saja modul berniaga ikut bajet atau modal di tangan.

"Mungkin kerana media sosial lah, semua orang mahu pamer kejayaan masing-masing, nak tunjuk siapa lebih sukses dan hebat,” ulas pakar motivasi itu lagi.