KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) akan memperluaskan Kelas Latihan Asas Sukan (KLAS) renang kepada warga emas dan orang kurang upaya (OKU).
Program yang dilancarkan pada Mei lalu hanya memfokuskan kepada kanak-kanak daripada keluarga B40, tetapi kini ia ditambah baik.
Menterinya, Hannah Yeoh berkata, KLAS diberikan kepada warga emas yang tinggal di kawasan mudah terjejas akibat banjir.
"Kelas renang diteruskan untuk tahun ini dan hotspot (tumpuan) lokasi, daerah mana, (itu) terpulang kepada satu laporan polis, di mana polis akan memberitahu kita hotspot di daerah ini (yang) banyak kes lemas.
Beliau demikian ketika mengadakan sidang akhbar selepas majlis penyerahan siap kerja trek sintetik Stadium Darul Makmur di Kuantan pada Selasa.
Hadir sama, Exco Komunikasi Dan Multimedia, Belia, Sukan Dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Fadzli Mohamad Kamal.
Hannah berkata, penawaran kelas sama kepada warga emas dan OKU itu dibuat hasil persidangan meja bulat diadakan di Putrajaya Khamis lalu.
Dalam persidangan disertai 21 pemegang taruh itu, KBS mengambil langkah proaktif bagi menggalakkan sukan dalam kalangan warga emas untuk memastikan kesihatan fizikal, rohani dan mental golongan berkenaan terpelihara.
Selain itu, katanya, sepanjang tahun lalu antara 5,000 hingga 7,000 kanak-kanak daripada keluarga B40 berjaya melengkapkan latihan dan menguasai kemahiran asas renang melalui penganjuran KLAS.
Mengulas lanjut mengenai lawatan di Stadium Darul Makmur, Hannah berkata, projek infrastruktur terlibat adalah kerja-kerja menaik taraf dan baik pulih trek sintetik Stadium Darul Makmur yang menjadi pusat tumpuan utama Pahang untuk penganjuran sukan terutamanya dalam acara olahraga.
Menurutnya, projek yang menelan belanja RM5 juta itu telah diuruskan sepenuhnya oleh Jabatan Kerja Raya Pahang dan dibantu oleh agensi yang berkaitan serta disiapkan pada 29 Disember lalu.
"Antara skop kerja yang dilaksanakan dalam projek ini adalah menggantikan trek sintetik yang lama kepada trek sintetik yang baharu jenis Full PU Kelas 2, Kategori 5 yang lebih berkualiti mengikut piawaian antarabangsa.
"Selain daripada kerja utama iaitu penggantian trek sintetik, kerja-kerja naik taraf lain yang terlibat adalah penukaran bangku di tempat duduk utama stadium dan jaring di kawasan bumbung stadium," ujarnya.
Menyentuh program jualan sukan Rahmah yang dilancarkan KBS pada September lalu, Hannah menjelaskan konsep itu tidak bermusim.
"Kita memang menggalakkan vendor memperkenalkan barangan yang sesuai untuk B40," katanya.