Dua lelaki didakwa cuba bunuh polis

Iklan
Mohd Shamsul Abu dan Saeudin mengaku tidak bersalah atas pertuduhan cuba membunuh seorang anggota polis, Disember tahun lalu.

MELAKA TENGAH - Dua lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan cubaan membunuh dengan melanggar seorang anggota polis pada 24 Disember tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Shamsul Abu Hassan, 45, dan Saeudin Rahman, 53, bagaimanapun tidak mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret, Mohamad Izwan Mohamed Noh.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa bersama-sama melakukan cubaan bunuh terhadap Lans Koperal Muhamed Hazwal Mohamed Zambri dengan melanggar mangsa menggunakan kereta jenis Proton Saga di persimpangan lampu isyarat Taman Rambai Utama di sini pada 6 petang, 24 Disember tahun lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Iklan

Terdahulu, pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Raudhah Mazman memohon mahkamah menetapkan jaminan RM5,000 bagi setiap tertuduh manakala kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh Mohd Shamsul Abu Hassan dan Saeudin Rahman diikat jamin RM3,000 selain perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan.

Iklan

Sebutan semula kes ditetapkan pada 11 Februari depan.