KUALA NERUS - Ibarat berpantang maut sebelum ajal, seorang nelayan terselamat walaupun bot yang dinaiki terbalik akibat dilambung ombak ketika dalam perjalanan pulang ke jeti Seberang Takir, di sini.
Zawawi Mustaffa, 49, berkata, dia sempat menyelamatkan diri dengan berenang ke tepi pantai selepas bot itu tidak boleh dikemudi kerana enjinnya rosak dalam kejadian kira-kira jam 6 petang, Ahad lalu.
Menurutnya, enjin bot berkenaan telah mengalami kerosakan sewaktu di tengah laut sebelum ia terbalik dan karam akibat dipukul ombak besar ketika memasuki kawasan berdekatan jambatan angkat.
"Ini pengalaman kedua saya. Saya pernah berdepan pengalaman sama yang berlaku dua tahun lalu pada musim tengkujuh," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian, pada Selasa.
Sebelum itu, dia bersama Pengerusi Program myKomuniti Perikanan (myKP) Seberang Takir, Mohd Syukri Ghani, 52, membuat laporan di Balai Polis Gong Badak.
Menurut Mohd Syukri, anggaran kerugian ditanggung Zawawi sekitar RM8,000 termasuk kehilangan alatan peranti sistem pengesanan global (GPS), alatan menangkap ikan, hasil laut, enjin bot dan dompet yang mengandungi wang tunai RM460.
"Kita dah buat laporan polis berhubung kejadian ini dan akan menghantar laporan ke Jabatan Perikanan Negeri Terengganu untuk tindakan lanjut.
"Kita harap ia dapat sedikit sebanyak membantu untuk menyokong dia kembali mencari sumber pendapatan di laut," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Syukri berkata, laut sudah menjadi darah daging buat para nelayan untuk mencari sumber rezeki lebih-lebih lagi pada waktu mencabar seperti musim tengkujuh.
Bagaimanapun, katanya, faktor keselamatan perlu dititikberatkan bagi mengelak tragedi tidak diingini berlaku.
"Biasanya orang nelayan ini akan turun juga ke laut pada musim tengkujuh sebab ini satu-satunya punca pencarian mereka. Kalau keadaan cuaca elok mereka tetap akan turun mencari hasil rezeki.
"Sudah menjadi rutin sebab inilah kerja hakiki yang dilakukan sejak berpuluh tahun lalu. Macam saya dan Zawawi sendiri, kami mula turun ke laut membantu keluarga sejak bersekolah rendah lagi," katanya.