Petisyen kes Nik Elin: Raja-Raja Melayu perlu dilibatkan

Iklan
Khairy

SHAH ALAM - Peranan Raja-Raja Melayu perlu dilibatkan sebelum mengambil sebarang langkah termasuk membawa cadangan pindaan perlembagaan ke Parlimen membabitkan sempadan bidang kuasa antara undang-undang Persekutuan dengan negeri.

Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, peranan itu wajar susulan keputusan mahkamah membatalkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 telah mencetuskan polemik dan sentimen politik.

Iklan
Iklan

Menurutnya, isu tersebut perlu ditangani dengan sebaiknya kerana ia boleh menjadi sangat emotif kepada banyak pihak.

"Dalam kes ini, sebelum pergi ke Parlimen nanti, diharapkan ia dipersembahkan kepada Raja-Raja Melayu untuk mereka memainkan peranan supaya isu ini tidak diapi-apikan.

Iklan

"Nasihat perlu dikeluarkan daripada yang paling atas (Raja-Raja Melayu) supaya perkara ini dapat diatasi dengan penuh berhemah serta berhati-hati.

Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau berkata demikian ketika podcast ‘Keluar Sekejap’ berdurasi satu jam 37 minit bersama mantan Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan di platform YouTube.

Iklan

Sebelum ini, peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid, 62, dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman, 26, memfailkan petisyen terhadap kerajaan Kelantan.

Panel sembilan hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan itu selepas membenarkan mereka mencabar 18 peruntukan enakmen tersebut.

Tambah Khairy, Raja-Raja Melayu perlu memanggil dan membuat perjumpaan bersama ahli politik yang masih berdegil untuk mempolitikkan isu berkenaan.

"Ini soal agama, bidang kuasa Perlembagaan Persekutuan dan asas negara kita,” ujarnya.

Khairy berkata, cadangan Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari yang meminta kerajaan meminda perlembagaan Persekutuan bagi memasukkan bidang kuasa jenayah dalam senarai bersama sebagai idea berbahaya dan akan menimbulkan kekeliruan.

"Adakah kita sudah bersedia? Saya tidak pasti ke mana arah negara kita jika cadangan ini diambil dan dibuat pindaan,” katanya lagi.