Negeri Sembilan wajibkan guna malim gunung di 3 lokasi pendakian

Iklan
Hamidi (tengah) ketika menerima kunjungan hormat jawatankuasa baharu Persatuan Malim Gunung Perhutanan Cawangan Negeri Sembilan ke Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan. Foto Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan

SEREMBAN - Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan akan mewajibkan penggunaan khidmat malim gunung di tiga lokasi pendakian berisiko di negeri ini yang dijangka dikuatkuasakan pada Jun depan.

Pengarah Perhutanan Negeri Sembilan, Hamidi Abd Halim berkata, tiga kawasan pendakian tersebut ialah Gunung Berembun, Gunung Besar Hantu dan Trans Naning.

Iklan
Iklan

"Kita telah tetapkan untuk tiga lokasi pendakian itu diwajibkan kepada pendaki untuk mendapatkan khidmat malim gunung kerana ia penting bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini.

Ujarnya, pihaknya sedang memperhalusi syarat, kaedah dan mekanisme bersesuaian serta terbaik dengan persatuan berkenaan termasuk agensi bertanggungjawab bagi membolehkan golongan pendaki menempah dan mendapatkan perkhidmatan malim gunung ini.

Iklan
Sesi kunjung hormat jawatankuasa baharu Persatuan Malim Gunung Perhutanan Cawangan Negeri Sembilan ke Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan. Foto Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan

"Setakat ini terdapat kira-kira 120 orang malim gunung perhutanan yang berdaftar dengan Persatuan Malim Gunung Perhutanan Cawangan Negeri Sembilan.

"Sebaik selesai hal berkaitan, kita akan umumkan kepada orang ramai sekali gus membolehkan pencinta alam serta pendaki untuk meneruskan aktiviti mereka di gunung terlibat," katanya.

Iklan

Sementara itu dalam perkembangan berlainan, Hamidi berkata, kesemua trek pendakian di negeri ini telah kembali dibuka kepada pendaki kecuali tiga kawasan pendakian tersebut.

"Di tiga trek pendakian itu, pihak kami bersama bantuan pihak persatuan malim gunung dan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia sedang melihat semula laluan pendakian terutama dalam aspek keselamatan selain memastikan trek turut dibersihkan daripada semak," katanya.