KUALA LUMPUR - Angkatan Masa Hadapan perlu memberi tumpuan kepada ancaman bukan tradisional seperti keselamatan siber, ancaman digital serta elektromagnetik pertahanan, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau berkata, hal ini kerana banyak negara dunia dan kuasa besar pertahanan kini sudah mula memberi perhatian serius kepada aspek itu secara lebih terbuka dan inovatif.
"Penggodaman serta serangan siber hasil operasi atau kegiatan yang disebut hacktivist adalah sesuatu yang berisiko memberi impak besar kepada keselamatan dan pertahanan sesebuah negara.
"Selain itu, hacktivist mampu melumpuhkan aktiviti ekonomi, perjalanan pentadbiran kerajaan, sistem perubatan dan pengangkutan serta banyak lagi impak serius,” katanya pada Majlis Pelancaran Kajian Separuh Penggal Kertas Putih Pertahanan pada Selasa..
Menurut Mohamed Khaled, pada suku akhir tahun lepas, satu kejadian penggodaman dan kecurian fail dari Pentagon, Amerika Syarikat, yang digelar sebagai ‘insiden besar’, telah melibatkan hingga lebih 600,000 e-mel serta memberi kesan kepada lebih 2,500 organisasi kerajaan.
"Dalam konteks ini, negara jiran kita (Singapura) sudah mengambil langkah terkehadapan, sehingga menubuhkan Digital and Intelligence Services sebagai domain dan ketumbukan baharu yang keempat di bawah Angkatan Tentera Singapura pada 2022,” katanya.
Mohamed Khaled berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga perlu mengambil kira jenis peperangan yang akan berlaku seperti serangan keselamatan siber.
"Kita tidak boleh ketinggalan, maknanya pada masa akan datang, kami memerlukan anggota-anggota tentera yang memiliki keupayaan menggodam,” katanya.
Beliau berkata, perkara itu perlu dikaji kerana negara lain terutamanya Singapura telah memantapkan sistem perkhidmatan tentera mereka.
Turut hadir Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman. - Bernama